UiTM Agih 1500 Bubur Lambuk Kepada Warga Shah Alam

Shah Alam, 21 April 2022: Kesibukan bekerja dan menjalani ibadah puasa tidak menghalang warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) bergotong royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk sempena program Rewang Ramadan 2022 bertempat di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin.

Sebanyak 5 periuk bubur lambuk dimasak di perkarangan Bangunan Canseleri yang diketuai Dr Shazali – Chef dari Hotel UiTM bersama dengan staf daripada Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti & Alumni, Pejabat Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Pejabat Pendaftar, Pejabat Bendahari, Pejabat Undang – Undang dan Jabatan Komunikasi.

Program turut disertai Naib Canselor UiTM YBhg Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor bersama-sama dengan Ahli Majlis Eksekutif UiTM. Datuk Naib Canselor berkata program ini berjalan lancar kerana mendapat kerjasama daripada semua pusat tanggungjawab yang ada di Bangunan Canseleri termasuk sumbangan kewangan, tenaga dan masa. Selain bertujuan menyemarakkan lagi Ramadan, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara warga staf.

Pengagihan bubur lambuk sebanyak 1500 bungkus diagihkan kepada warga dan pelajar UiTM di Pintu Masuk Utama 1 oleh Datuk Naib Canselor dan ahli MEU manakala di Pintu Masuk Utama 2 dan di Pintu Masuk Seksyen 7 diagihkan oleh jawatankuasa program.