Puncak Alam, 1 Ogos 2024 – UiTM Cawangan Selangor telah melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 dengan tema #UCSjiwamerdeka. Tema ini diangkat sebagai tanda sokongan kepada tema kebangsaan iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka. Selari dengan hasrat dan kempen “Kibarkan Jalur Gemilang” yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 21 Julai 2024, Jalur Gemilang turut dipasang dan dikibar di sekitar kampus bagi menunjukkan rasa cintakan negara dan menyemarakkan semangat patriotik dikalangan warga.
Majlis pelancaran sambutan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Kerajaan Negeri Selangor juga sekaligus melancarkan sebanyak 23 aktiviti yang ditakwim bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan bermula 1 Ogos sehingga 16 September 2024. Dalam majlis itu, beliau bersama-sama Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman turut memasang bendera di kenderaan peronda polis bantuan, serta membuat pelepasan acara fun ride dan fun walk yang disertai oleh seramai lebih 200 orang peserta.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Selangor, sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini menyaksikan usaha UCS untuk menyokong dan menyemarakkan sambutan secara bersama melibatkan seluruh warga UCS dari empat (4) kampus iaitu Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Dengkil, serta 8 Fakulti di UCS. Seiring dengan tema Jiwa Merdeka, pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor mengharapkan penglibatan warga dalam 23 aktiviti yang direncana dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama warga, dan seterusnya meningkatkan indeks kegembiraan.
Penganjuran sambutan secara kerjasama dan kolaborasi jabatan dan kampus di bawah satu pentadbiran ini diharap mampu menjadi pemangkin usaha memupuk sifat-sifat positif dan bernilai tinggi kepada segenap lapisan masyarakat, terutamanya dari jiwa-jiwa warga UCS – #UCSjiwamerdeka