UCS x MyCareerFair 2024 Berjaya Tarik Lebih 2000 Peserta

15 Mei 2024 – UiTM Cawangan Selangor (UCS) dan Agensi Pekerjaan Jobstore Sdn Bhd selaku penganjur utama berserta penganjur bersama Fakulti Farmasi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Perakaunan, Fakulti Pendidikan dan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024 telah menjalinkan kerjasama dalam menganjurkan UCS x MyCareerFair 2024 dengan menumpukan usaha dan membantu mencapai matlamat untuk  meningkatkan Kebolehpasaran Graduan Universiti Teknologi MARA.

Perasmian majlis disempurnakan oleh YBrs. Ts. Kamaruzaman Md Ali Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia, yang turut disaksikan oleh Rektor UCS, YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman. Karnival kerjaya yang diadakan selama dua hari bermula 14 hingga 15 Mei bertempat di Bilik Aktiviti Pelajar 1 & 2 ini melibatkan 23 majikan dan berjaya menarik kunjungan seramai 2168 pelajar UiTM Cawangan Selangor.

Pihak Jobstore.com telah berjaya membawa hampir 20 organisasi atau majikan (Rakan Kolaborasi Industri) yang berpotensi memberi peluang pekerjaan kepada bakal graduan UiTM. Diharapkan melalui penganjuran program ini, ianya dapat merealisasikan objektif yang telah digariskan – antaranya menjadi medium penyaluran maklumat kerjaya dan membina hubungan atau ‘networking’ melalui ‘smart partnership’ antara pihak universiti dengan pihak industri, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM keseluruhannya.

#UCSCemerlang