UCS Lancar Sistem Utiliti Bersepadu (iUS) Bantu Rekod Penggunaan Tenaga UiTM

4 Julai 2024 – Pejabat Pengurusan Fasiliti UiTM Cawangan Selangor (UCS) dengan kerjasama Bahagian Infostruktur UCS telah berjaya melancarkan Sistem Utiliti Bersepadu atau iUS – Ingrated Utility System. Proses pembangunan sistem yang bermula pada 2018 ini merupakan asas bagi peningkatan kecekapan operasi, keupayaan dan keberkesanan system penyimpanan dan pengurusan data yang lebih cekap, serta pematuhan yang lebih ketat terhadap standard keselamatan maklumat.

Dalam ucapan perasmian yang disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, beliau memberitahu bahawa Sistem Utiliti Bersepadu (iUS) ini bukan hanya sebuah perisian, tetapi sebuah alat yang akan memudahkan dan mempercepatkan proses-proses penting melalui pangkalan data bersepadu bagi menyimpan rekod penggunaan tenaga elektrik.

Menurut pengarah projek, Ir. Edwina Hamzah, penggunaan sistem ini akan diperluas ke semua kampus cawangan UiTM bagi merekod penggunaan tenaga sekaligus membolehkan langkah-langkah penjimatan diambil. Sebagai permulaan, sistem yang dilancarkan ini akan digunapakai oleh semua kampus di UiTM Cawangan Selangor iaitu Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Dengkil dengan setiap kampus mempunyai moderator yang akan menguruskan maklumat ke dalam sistem.

Semoga sistem baharu ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi dalaman, tetapi dapat memperkuatkan lagi kedudukan kita di pasaran yang semakin kompetitif, serta sentiasa berfungsi dengan baik dan memberi manfaat yang berkekalan.