UCS Lancar Kempen “No Plastic” Sempena Sesi Ramah Mesra Bersama Peniaga Kampus

Puncak Alam, 12 Julai 2024 – Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE) buat julung kalinya pada tahun ini telah menganjurkan “Majlis Ramah Mesra Rektor dan Pengurusan Tertinggi UiTM Cawangan Selangor (UCS), Bersama Para Peniaga Kampus Puncak Alam dan Kampus Puncak Perdana”. Program ini diadakan sebagai salah satu platform pendekatan dan jalinan ukhwah diantara pengurusan UCS dan para peniaga kampus, serta membincangkan penambahbaikan yang dapat dilaksanakan demi memberikan perkhidmatan yang terbaik buat seluruh warga UCS, khususnya kepada para pelajar.

UCS dengan bantuan iCARE tidak ketinggalan dalam usaha merealisasikan saranan Kerajaan untuk memperkasakan ‘Green Governance’ atau dikenali sebagai tadbir urus hijau.  Justeru, dalam majlis yang sama, pelancaran kempen ‘No Plastic’ turut diadakan, dan disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS. Kempen yang akan bermula pada Oktober 2024 ini mengajak warga UCS untuk mengurangkan penggunaan plastik dengan membawa bekas makanan dan minuman masin-masing ketika membeli di dalam kampus.

Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan surat tawaran kepada peniaga baharu yang berjaya mendapat sewaan ruang niaga di premis UCS. Pelantikan peniaga diadakan secara berkala dan berterusan melalui proses iklan tawaran sebut harga yang dilaksanakan secara terbuka dengan menggalakkan penyertaan daripada pihak luar. Orang awam boleh mendapatkan dokumen sebutharga melalui laman sesawang Pejabat Bendahari UCS yang diiklankan mengikut tempoh tertentu. Sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 125 premis yang berstruktur dan berkontrak sedang beroperasi di ucs. Manakala bagi ruang yang tidak berstruktur pula, sebanyak 260 ruang telah disewakan.

#UCSCemerlang