UCS Green Ribbon Fun Run 2024 Tingkat Keseadaran Mental Warga dan Komuniti

Puncak Alam, 29 Jun 2024 – UCS Green Ribbon Fun Run 2024 anjuran Unit Kesihatan UiTM Cawangan Selangor telah dijayakan dengan penyertaan lebih daripada 260 peserta yang terdiri daripada pelajar, staf dan orang awam. Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum aktiviti Fun Run sejauh 3 km.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kecergasan fizikal dan mental. UiTM Cawangan Selangor melalui Unit Kesihatan sedaya upaya berusaha untuk terus membantu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan serta mengurangkan stigma mengenai penyakit mental di kalangan pelajar dan juga masyarakat setempat supaya mereka yang mempunyai masalah ini dapat tampil lebih awal untuk mendapatkan rawatan dan sokongan.

Selain aktiviti larian, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti tambahan seperti booth pemeriksaan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan booth saringan kesihatan mental yang dikendalikan oleh Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM Puncak Alam. Perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Madya Sr Dr Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor (Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni Dan Keusahawanan (iCARE), mewakili Rektor UCS.

Semoga kolaborasi di antara Unit Kesihatan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Unit Kaunseling dan Kerjaya UiTM Cawangan Selangor ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi meningkatkan tahap kesihatan warga UiTM dan komuniti setempat, selain mengeratkan hubungan antara semua pihak yang terlibat.