TYT Lancar 2 Naskah Buku Tulisan UiTM Cawangan Sarawak Di Oxford, United Kingdom

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkenan melancarkan dua buku tulisan UiTM Sarawak di Oxford Islamic Centre, Oxford University, United Kingdom.

Buku-buku ini bertajuk: “Sejarah & Perkembangan Wali Songo” dan “Travelog Kembara Wali Songo“. Penulisan buku ini merupakan cetusan idea Tun Pehin Taib yang mahukan kisah dan pengalaman Wali Songo atau Sembilan Wali di Pulau Jawa wajar dipersembahkan semula kepada masyarakat Islam di Sarawak khususnya dan kepada seluruh dunia amnya.

Ini kerana pendekatan penyebaran dakwah Islamiyah oleh para Wali Songo ini begitu mudah diterima, terasa lunak di sanubari di kalangan golongan sasaran dakwah, bahkan para Wali Songo ini langsung tidak menggunakan jalan kekerasan apalagi ugutan mahupun paksaan.

Pusat Pengajian Islam Oxford (Oxford Centre of Islamic Studies), Universiti Oxford London bersedia untuk menjalinkan kerjasama akademik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dalam tiga bidang utama iaitu Pengajian Islam Kontemporari, Halal dan Wakaf.

Pusat Pengajian Islam Oxford turut mengalu-alukan pensyarah Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Sarawak untuk menyambung pengajian dalam program Pasca-Kedoktoran bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pengajian Islam kontemporari.

Selain itu, Pusat Pengajian Islam Oxford dan UiTM Cawangan Sarawak juga turut bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan berkaitan dengan perkembangan Islam di Nusantara khususnya Islam di Borneo.

0
0