Transformasi Pendidikan Melalui Kelestarian Pendigitalan: Projek Smart Pot di SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam

Shah Alam – Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan projek Smart Pot sebagai inisiatif utama dalam menggalakkan kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah. Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara pensyarah Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam, Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 Shah Alam dan Micro Concept Tech (MCT) Sdn. Bhd., bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa makanan dengan menggunakan teknologi terkini. Pengenalan Smart Pot, sebuah teknologi inovatif dalam pertanian digital, tidak hanya memberi peluang kepada pelajar untuk belajar tetapi juga mendorong mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam kehidupan harian.

Pelajar-pelajar terlibat secara aktif dalam seluruh proses projek, dari pemantauan hingga analisis hasil menggunakan Smart Pot. Inisiatif ini tidak hanya memperkukuhkan kemahiran praktikal dalam pengkomposan tetapi juga merangsang kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam menangani isu-isu alam sekitar. SK Bukit Kemuning 2 bertekad untuk menghasilkan bukan sahaja pelajar yang cemerlang akademik, tetapi juga individu yang peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam.

Kejayaan projek ini telah memberi impak yang positif kepada persekitaran sekolah dan masyarakat setempat. Diharapkan bahawa inisiatif ini akan mengubah cara pelajar memahami dan bertindak terhadap isu-isu kelestarian, menjadikan SK Bukit Kemuning 2 sebagai model dalam mempromosikan kesedaran kelestarian melalui pendidikan. Projek Smart Pot bukan hanya sebuah langkah ke hadapan untuk SK Bukit Kemuning 2, tetapi juga titik tolak untuk usaha lanjut dalam memperluas kesedaran kelestarian dalam kalangan masyarakat pendidikan dan umum.