Perak, 22 Jun 2024 – Program khidmat masyarakat di bawah kursus kokurikulum UiTM Cawangan Perak telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang, Bota, Perak melalui program Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM). Kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan ini melalui Program Transformasi Keceriaan Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang telah menyaksikan penglibatan yang aktif dari pelbagai pihak bagi meningkatkan keceriaan dan keselesaan sekolah tersebut.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Yang DiPertua PIBG, Pn Hamiza Binti Nan dan Guru Besar SK Teluk Kepayang, Pn Azlina Binti Ibrahim Lastar. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan 36 pelajar UiTM Cawangan Perak dari pelbagai bidang, 56 murid sekolah dari persatuan pengakap sekolah, 10 orang guru serta 7 orang komuniti setempat yang turut serta memberikan bantuan dalam usaha mengindahkan kawasan sekolah.
Tujuan utama Program Transformasi Keceriaan Sekolah Teluk Kepayang ini adalah untuk mencipta suasana yang lebih selesa dan ceria di kawasan sekolah. Dengan suasana yang lebih baik, diharapkan para pelajar dan guru akan merasa lebih selesa dan bersemangat untuk menjalankan aktiviti di sekolah. Program ini juga bertujuan untuk melatih pelajar khidmat masyarakat UiTM dalam melaksanakan aktiviti dan projek sukarelawan, di samping membersihkan dan mencantikkan kawasan sekeliling Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang.
Antara matlamat utama program ini adalah untuk menjadikan kawasan sekolah lebih kondusif dan mesra pelajar. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan dan mengeratkan jalinan kerjasama antara UiTM dan Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang. Melalui program ini, para pelajar dan komuniti diajar untuk mengambil tanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu kerja, merancang, melaksana, memimpin program, serta bekerjasama dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan.
Program Transformasi Keceriaan SK Teluk Kepayang telah membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti setempat mampu membawa perubahan positif yang ketara. Melalui penglibatan aktif pelajar UiTM Cawangan Perak, murid-murid, guru-guru, dan komuniti setempat, suasana sekolah yang lebih ceria dan selesa telah berjaya diwujudkan. Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada institusi-institusi lain untuk melaksanakan projek-projek yang memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan komitmen yang berterusan, kita dapat memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan kondusif untuk generasi akan datang.