Tokoh Senibina Malaysia Ar. Hijjas Kasturi Berkongsi Kisah Perjalanan Senibina bersama Warga FSPU UiTM Puncak Alam

Tokoh Senibina Malaysia Ar. Hijjas Kasturi

Tokoh senibina Malaysia, Ar. Hijjas Kasturi baru-baru ini telah berkongsi kisah perjalanan senibina beliau bertajuk “The Games of Architecture”. Dinamakan sempena nama beliau, Ceramah Tahunan Ar. Hijjas Kasturi yang pertama ini telah diadakan di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam pada 15 November 2019.

Ceramah ini adalah salah satu program PALAM Fest 2019 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah. Majlis ini telah dirasmikan pada hari yang sama oleh Ar. Hijjas Kasturi sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap peranannya sebagai pengasas Fakulti Seni dan Senibina di Institut Teknologi MARA (ITM, yang kini dikenali sebagai UiTM) pada tahun 1967.

Tokoh Senibina Malaysia Ar. Hijjas Kasturi

Pada permulaan ceramah, beliau menceritakan minat beliau yang mendalam terhadap senibina sejak zaman kanak-kanak lagi. Pada waktu itu semasa peluang persekolahan lebih mudah diberikan kepada orang-orang kaya dan yang berkeistimewaan, beliau seringkali mencari cara lain untuk menimba ilmu senibina, terutamanya daripada aktiviti membaca. Fallingwater oleh arkitek Frank Lloyd Wright pada tahun 1935 adalah antara inspirasi senibina beliau yang terawal.

Bagi Ar. Hijjas Kasturi, “The Games of Architecture” adalah seperti bermain dalam sukan. Dalam sukan, anda boleh bermain sebagai solo, secara berpasukan atau secara berpasangan. “Kadangkala anda bersaing dengan orang lain, dan kadangkala anda bersaing dengan diri sendiri,” jelas beliau.

Menurut Ar. Hijjas Kasturi, untuk berjaya dalam bidang senibina yang mencabar, seseorang individu memerlukan 3F – “fun, fortune and fame”. Beliau menyatakan hidupnya diberkati dengan nasib yang baik, maka ianya menyumbang kepada perjalanan karier senibina beliau yang mengagumkan.

Namun begitu idea-idea senibina beliau juga telah acapkali ditolak, tetapi beliau tetap meneruskan apa yang beliau percayai. Ar. Hijjas Kasturi menekankan bahawa, “anda tidak bekerja demi wang; anda bekerja demi cinta.” Walaupun kedengarannya klise, cinta memang memainkan peranan penting dalam bidang senibina.

Kepentingan cinta bukan hanya berkaitan dengan minat arkitek itu sendiri, tetapi turut penting dalam tanggungjawab mereka terhadap persekitaran. “Anda bertanggungjawab terhadap persekitaran yang dibina – anda boleh mencemarkannya, memajukannya atau memberi inspirasi,” jelas beliau.

Pada usia yang telah mencecah 83 tahun, Ar. Hijjas Kasturi menyatakan bahawa keseronokan dalam kerjayanya adalah daripada perjalanan, bukannya destinasi. Antara bangunan terkenal beliau ialah Wisma Equity (1982), Menara Maybank (1989), Tabung Haji (1986), Menara Telekom (2001), Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (2003) dan Menara 4G11 di Putrajaya (2008). Disamping konsep reka senibina yang bermakna, kekuatan senibina sentuhan Ar. Hijjas Kasturi adalah daripada aspek praktikal. Menurut belia, “fungsilah yang menjadikan sesuatu bangunan itu senibina”.

Tokoh Senibina Malaysia Ar. Hijjas Kasturi

Di akhir ceramah ini, Ar. Hijjas Kasturi dengan bermurah hati menyumbangkan dua naskah buku beliau bertajuk “Concrete Metal Glass” untuk koleksi buku senibina di Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM. Buku yang telah dilancarkan pada 30 November 2006 itu merupakan rekod hasil-hasil senibina oleh Hijjas Kasturi Associates, syarikat senibina beliau sendiri.

Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah
Dekan FSPU, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah

Dekan FSPU, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah yang turut hadir di ceramah ini amat berbesar hati menerima buah tangan yang boleh dijadikan rujukan dan inspirasi kepada bukan sahaja para pelajar FSPU, malahan para pencinta senibina di seluruh dunia.

1
0