Tirai Ramadan di buka dengan Majlis Bacaan Yasin

Tirai Ramadan di buka dengan Majlis Bacaan Yasin

SHAH ALAM – 23 April 2020 – Ramadan datang saban tahun bagi membuka peluang kepada umat Islam melipat-gandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya. Sempena meraikan kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia, sebahagian mahasiswa yang masih berada di Kolej Perindu UiTM Shah Alam membuka tirai Ramadan pada kali ini dengan bacaan Yaasin.

Pengetua Kolej Perindu, Encik Sumardianshah Bin Silah, turut serta mengimarahkan majlis bacaan Yaasin tersebut bersama barisan Staf Residen Kolej (SRK), Kolej Perindu UiTM Shah Alam. Majlis tersebut telah diadakan sebelum solat Isyak di perkarangan blok kolej masing-masing di Kolej Perindu UiTM Shah Alam.

Walaupun majlis bacaan Yaasin ini diadakan hampir setiap minggu sebagai suatu usaha bagi memohon perlindungan daripada Allah S.W.T susulan penyebaran wabak COVID-19, majlis ini juga diadakan bagi memohon keberkatan daripada Allah S.W.T disamping mendoakan kesejahteraan umat Islam, sekaligus sebagai tanda kesyukuran kerana masih dapat berada di dalam bulan yang mulia ini dalam menjalani Ibadah Puasa sebagai umat Islam.

Tirai Ramadan di buka dengan Majlis Bacaan Yasin

Selaras dengan arahan kerajaan, majlis bacaan Yaasin ini juga telah dilaksanakan melalui kaedah ‘social distancing’ bagi memastikan jarak sosial antara penghuni kolej sentiasa dipatuhi selain memastikan kelangsungan program berjalan dengan lancar. Penghuni kolej juga diminta untuk menunaikan solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawih di dalam bilik masing-masing seusai majlis bacaan Yaasin berakhir.

Ramadan yang tiba kali ini bakal meninggalkan seribu satu kenangan buat umat Islam seluruh dunia dan rakyat di Malaysia, khususnya. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk kepada fasa ke-4 ini, umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan dalam keadaan yang luar biasa. Walaupun begitu, ia merupakan suatu perkara yang perlu disyukuri kerana kita masih diberi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadan. Justeru itu, rasa syukur itu wajar dizahirkan dengan melaksanakan amal ibadat wajib dan sunat di samping mempraktikkan amalan- amalan mulia sepanjang bulan Ramadan.

Tirai Ramadan di buka dengan Majlis Bacaan Yasin

Oleh: Muhammad Afif Syazani