POKOK SENA, 25 September 2024 – Program Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah mengadakan program bersama komuniti yang terdiri daripada 23 orang ibu bapa dan petugas dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Angsana, Pokok Sena, Kedah. Pelatih-pelatih ini yang terdiri daripada kanak-kanak berkeperluan khas yang kebanyakannya mempunyai masalah pemprosesan sensori dan tingkah laku yang terdiri daripada kondisi seperti autisma dan masalah pembelajaran.
Program Pemerkasaan Pengetahuan Sensori Dan Tingkah laku Kanak- Kanak Bekeperluan Khas Di Kalangan Penjaga Dan Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti ini telah ini dirangka khusus untuk memindahkan ilmu dan memberikan panduan kepada ibu bapa serta petugas PPDK mengenai cara mengurus dan memahami cabaran sensori dan tingkah laku yang dihadapi oleh kanak-kanak berkeperluan khas. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Pokok Sena, Kedah.
Program ini dimulakan dengan sesi ceramah mengenai masalah sensori yang mempengaruhi masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi Rahimi bin Abu Bakar kepada para ibu bapa pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Setelah selesai aktiviti ceramah, para pelatih berserta ibu bapa terlibat dalam sesi praktikal atau ‘hands-on’ yang diketuai oleh penceramah dan fasilitator iaitu Puan NurSaidah Nafisa binti Che Abdullah dan Encik Muhammad Faris Bin Aminuddin dari Program Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Sesi ini melibatkan sensory-based activity yang dijalankan kepada para pelatih beserta tunjuk ajar kepada ibu bapa. Semasa sesi ini juga, teknik-teknik asas dalam pemprosesan sensori diberikan tunjuk ajar agar boleh dipraktikkan oleh penjaga dan juga ibu bapa. Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab oleh ibu bapa bersama penceramah dan fasilitator untuk memberikan pandangan serta penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi oleh penjaga dan petugas dalam penjagaan kehidupan seharian pelatih-pelatih tersebut.
Dengan sokongan yang berterusan, lebih banyak program seperti ini akan diadakan bagi memperkukuh pengetahuan masyarakat tentang keperluan kanak-kanak berkeperluan khas, sekali gus memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya dalam kehidupan seharian mereka.