Menyorot jalan cerita filem bertajuk “Tere Zameen Par” lakonan hebat Amir Khan, pasti ramai tidak menyangka bahawa peranan watak utama dipegang oleh seorang kanak-kanak dyslexia. Filem ini mengambarkan seorang kanak-kanak yang pemalas, kurang pandai, suka menimbulkan masalah dan sentiasa dimarahi oleh guru-gurunya. Gurunya yang prihatin telah mengenalpasti masalah dan merancang strategi yang bersesuaian dengan karakter beliau. Hasilnya, minat serta potensi kanak-kanak Dyslexia ini telah berjaya dikembangkan dan mengalami perubahan.
Dalam konteks yang lebih luas, ramai ikon-ikon tersohor dunia juga mengalami masalah dyslexia sejak usia kanak-kanak. Antaranya adalah seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci, Steve Jobs, Bill Gates, William Hewlett, Steven Spielberg, Tom Cruise, Jamie Oliver, Will Smith dan ramai lagi. Secara umumnya, kanak-kanak dyslexia merupakan individu yang mengalami kecelaruan dalam membaca, mengeja dan menulis. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan perkembangan anak-anak mereka sedari awal. Jelas, tunjang utama pendidikan awal kanak-kanak bermula dari rumah seawal mereka dilahirkan.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah kebolehan anak-anak untuk menyebut setiap abjad bermula dari A sehingga Z. Sebagai tambahan, ibu bapa boleh memilih abjad secara rawak untuk melihat potensi mereka mengingati abjad yang ditunjukkan. Abjad yang paling mencabar dikalangan kanak-kanak dyslexia adalah b,d, p dan q. Dari sudut pandangan mereka, abjad ini kelihatan terbalik seperti “mirror image” atau seakan bergerak-gerak. Selain itu, terdapat gaya penulisan yang ditulis secara terbalik sebagai contoh “Bin” akan ditulis sebagai “Nib”. Malahan mereka juga kerap menyalin atau menulis perkataan tanpa jarak antara satu perkataan dengan perkataan yang lain.
Lebih mengelirukan apabila petikan ditulis tanpa noktah atau koma. Justeru, ibu bapa boleh meminta anak-anak mereka menyalin kembali mana-mana petikan ringkas untuk meneliti cara penulisan. Ibu bapa perlu menjadi tempat meluahkan dan menzahirkan rasa hati sekiranya mereka mengalami kepayahan dalam memahami apa yang ditulis oleh guru dan membaca petikan daripada buku. Justeru, ibu bapa juga boleh mengambil perhatian jika anak-anak sering mengadu tidak paham atau sering dimarahi oleh guru. Antara langkah-langkah proaktif adalah berkongsi masalah mereka dengan cara paling santai atau mengajak mereka berbual-bual dengan situasi semasa belajar di dalam kelas.
Perlu difahami bahawa, mereka hanya mengalami kecelaruan dalam pembacaan. Hakikatnya, IQ kanak-kanak ini berada pada tahap yang sama. Malahan, dalam sesetengah keadaan boleh melebihi dari rakan sebayanya. Sekiranya simptom-simptom di atas berlaku kepada anak-anak kita, ibubapa tidak perlu panik atau merasa sedih. Dyslexia bukanlah suatu bentuk penyakit yang sangat bahaya. Malahan, ianyanya boleh diatasi jika ditangani dari peringkat awal dengan kaedah yang betul.
Justeru, berjumpalah dengan pakar-pakar kesihatan yang boleh mengesahkan tahap dyslexia di klinik kesihatan berhampiran. Melalui pengesahan pakar, sekiranya menghadapi masalah yang serius, penghidap dyslexia akan dirujuk ke hospital untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak. Sesetengah kes setelah mendapat nasihat dari pakar kanak-kanak, akan dirujuk kepada Terapis Pertuturan-Bahasa “Speech-Language Therapist” atau Terapis Cara Kerja “Occupational Therapist”. Jelas, ibubapa memainkan peranan yang terbaik dalam membantu kanak-kanak dyslexia ini menjalani terapi yang bersesuaian mengikut peringkat dan tahap permasalah mereka.
Antara usaha yang boleh dilakukan adalah:
- Merancang aktiviti yang lebih kreatif dan riang dikalangan anak-anak. Ibu bapa boleh merangka strategi yang lebih mantap melalui kaedah pembelajaran yang mengembirakan mereka. Cungkil bakat mereka melalui pemerhatian dan tingkah laku anak-anak.
- Luangkan masa dengan melakukan aktiviti pembelajaran yang lebih kreatif seperti membaca petikan ringkas dengan tulisan besar di dinding. Selain itu, melompat mengikut irama bunyi sukukata perkataan juga akan menarik minat mereka.
- Membina abjad yang besar dengan menggunakan tulisan kecil yang mempunyai tekstur permukaan yang kasar. Ini bertujuan agar kanak-kanak dyslexia dapat menyentuh dan merasai bentuk abjad yang diberikan kepada mereka. Kaedah ini perlu dilakukan berulang kali agar kanak-kanak dyslexia ini dapat mengingati dengan baik dan memahami konsep dan bentuk abjad dengan lebih berkesan.
- Beriadah di taman permainan atau pusat rekreasi sambil meneroka alam bersama-sama. Kemudian, melakukan penceritaan semula sekembali ke rumah melalui aktiviti mengeja dan menulis setiap benda yang diingati.
Sebagai rumusan, proses ini memerlukan sokongan yang padu daripada ibu bapa dan guru-guru dyslexia yang terlatih. Kelemahan mereka bukanlah selama-lamanya. Ini kerana dengan bimbingan dan kasih sayang yang sempurna dalam memupuk kanak-kanak dyslexia ini, mereka mampu berjaya dan lebih cemerlang seperti kanak-kanak normal yang lain.
Jesteru itu, tidak perlu gusar dan bimbang jika anak disahkan mengalami masalah dyslexia. Ini kerana dyslexia itu sendiri merupakan kunci kejayaan mereka jika dari peringkat awal dibimbing dengan rawatan sebaiknya.