Rabu, 14 Ogos 2024 – Tiga pensyarah dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Puncak Alam, telah terpilih untuk mewakili Malaysia dalam pameran berprestij “International Islamic Calligraphy Art Exhibition” yang akan berlangsung dari 6 hingga 14 September 2024 di Samarinda Islamic Center, Kalimantan Timur, Indonesia. Tema pameran kali ini mengangkat keperibadian mulia junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W pastinya akan memberi inspirasi yang mendalam kepada para pengunjung dan pencinta seni Islam dari seluruh dunia.
Penyertaan Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon, Ainun Jariah Yaacob, dan Rosliza Abdul Rahim dalam pameran ini bersama-sama khattat (penulis khat) dan pengkarya seni khat dari pelbagai negara ASEAN merupakan satu penghormatan besar untuk negara.
Tahniah kepada para pensyarah dan pengkarya seni khat Malaysia atas usaha memartabatkan seni khat Islam dalam kalangan masyarakat global. Kehadiran mereka menandakan pencapaian yang membanggakan sebagai wakil kontinjen Malaysia dalam arena seni Islam di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan kebanggaan negara, tetapi juga menyerlahkan usaha gigih mereka dalam menyebarkan mesej dakwah melalui seni yang penuh hikmah dan bermakna. Pameran ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk penggiat seni khat Malaysia diiktiraf di persada antarabangsa. Semoga mereka terus berjaya dalam perjuangan memartabatkan seni khat dan mengibarkan bendera Malaysia di pentas dunia.