TETRA PRINT: Inspirasi Kelestarian Alam Melalui Kreativiti Seni Cetakan daripada Bahan Kitar Semula.

Program bengkel seni cetakan daripada bahan kitar semula “TETRA PRINT” telah diadakan sebanyak 2 siri iaitu pada 8 Jun (siri 1) dan 9 Jun 2024 (siri 2) di Kapallorek Artspace, Seri Iskandar, Perak bersempena dengan Festival Seni Kitar Semula “Waste to Art”. Program yang memfokuskan mengenai kesenian dan aktiviti kitar semula merupakan inisiatif kumpulan kolektif Creative Collection For Artistic Learning and Mastery (CCALAM) yang terdiri daripada beberapa barisan pensyarah Jabatan Seni Halus di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Selain itu, ianya turut menghimpunkan 2 acara utama lain seperti bicara seni kitar semula dan pertandingan arca kitar semula yang medapat sokongan oleh Dana Kreatif Perak @ Port.

Dalam sesi pengenalan bengkel cetakan TETRA PRINT ini, peserta dibimbing cara mengumpul dan menyediakan bekas kotak minuman keluaran ‘Tetra Pak’ yang dikitar semula sebagai blok dalam proses cetakan oleh fasilitator jemputan Cik Mursyidah Zainal Abidin dengan dibantu oleh kolektif CCALAM. Peserta juga diperkenalkan kepada beberapa teknik cetakan asas sebelum mengaplikasikan teknik gurisan ‘drypoint’ di atas bekas kotak minuman ‘TetraPak’. Panduan langkah demi langkah tentang cara mencipta idea, mengukir permukaan kotak, menggunakan dakwat cetakan dan proses mencetak turut ditunjukkan. Peserta diberi ruang untuk bereksperimen dengan teknik dan idea yang dipelajari bagi menghasilkan karya seni cetakan mereka sendiri. Di akhir bengkel siri 1 dan  siri 2, sesi penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta serta fasilitator jemputan telah di sampaikan oleh Encik Mohd Nafis bin Saad selaku ketua projek program ini.

Dengan lebih daripada 40 penyertaan aktif terdiri daripada pelajar, ibubapa, kanak-kanak dan orang awam, peserta tidak hanya belajar mengenai seni cetakan tetapi juga mengenai pentingnya usaha kitar semula dan cara-cara kreatif untuk mengurangkan sisa buangan. Hasil karya semua peserta kemudiannya akan dipamerkan dalam satu pameran mini di Kapallorek Artspace sehingga 24 Jun 2024 bagi memperlihatkan bakat kreativiti peserta di samping memperkukuh peranan seni dalam melengkapi aspek kehidupan seharian.

Bengkel seni cetakan TETRA PRINT di Kapallorek Artspace telah membuktikan bahawa seni dan kelestarian alam sekitar mampu bergerak seiring dalam mencipta impak positif. Dengan menggabungkan kreativiti dan kesedaran tentang kitar semula, bengkel ini bukan sahaja mengasah bakat seni peserta tetapi mampu membuka ruang pengetahuan untuk menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar. Secara tidak langsung, ianya juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Matlamat 12.5.1 untuk memastikan corak penggunaan dan pengeluaran sisa kitar semula yang lebih mampan serta bertanggungjawab.

Di samping itu, program ini juga turut disertai oleh beberapa organisasi yang bekerjasama mengadakan aktiviti seperti kempen & kutipan fabrik oleh LIPAN Integrated Recycling Technologies, pengumpulan sisa elektronik, elektrik oleh Majlis Daerah Perak Tengah serta kempen & pengumpulan sisa minyak terpakai oleh UiTM Green Campus, Perak. Terdapat juga aktiviti jualan produk seni & kraf, jualan dari boot kereta, makanan dan minuman yang melibatkan pelajar seni dari UiTM dan masyarakat setempat.

Diharapkan inisiatif sebegini akan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk mengambil bahagian dalam usaha memelihara bumi kita.