SHAH ALAM, 4 NOVEMBER 2022 – Satu acara Open Day and Talent Hunt @ College of Computing and Informatics 2022 telah berlangsung pada hari ini. Perasmian acara ini telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kompleks Al-Khawarizmi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.
Para pengunjung acara ini dapat menyaksikan sinergi 4 bidang utama kolej iaitu Sains Pengkomputeran, Sains Maklumat, Sains Matematik serta Komunikasi dan Media menerusi pelbagai aktiviti yang akan dijalankan. Pengunjung akan didedahkan dengan bidang-bidang terkehadapan dalam pasaran seperti Keselamatan Siber, Analitik Data Raya, Perisikan Siber, Kepintaran Buatan, Teknologi Rangkaian Pengkomputeran Awan, Permodelan Matematik, Sains Aktuari, Sains Maklumat dan Komunikasi dan Media.
Selain itu, acara Talent Hunt dan Speed Interview turut diadakan dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah inisiatif Prermier Digital Tech Institiution (PDTI). Ia diadakan terutamanya untuk para pelajar tahun akhir universiti yang sedang mencari peluang pekerjaan. Terdapat lebih daripada 20 industri yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji permulaan yang menarik, selain menyediakan input untuk pelajar yang bakal mengikuti latihan industri.
Menurut Profesor Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor, acara Open Day and Talent Hunt @ College of Computing, Informatics and Media yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 November merupakan program besar pertama yang diadakan selepas penubuhan Kolej pada 1 Oktober yang lalu. “Acara yang menggabungkan elemen teknologi, akademik, kesukarelawanan, industri, komuniti, keusahawanan, kebolehpasaran graduan, serta penglibatan industri ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.”
Di akhir majlis perasmian, Dr Yap Chee Sing, Pengarah Urusan Iverson Associate Sdn Bhd. telah menyampaikan sijil Saintis Data dan Penganalisa Data kepada para pelajar kolej yang mengikuti program pensijilan KPT Pace dibawah Kementerian Pengajian Tinggi. Majlis ini turut dihadiri oleh Ts Haji Nik Naharudin Mohd Nasir, Pengarah Bakat Digital Malaysia Digital Economy Corporation, Profesor Ts Dr Salamiah Kasolang, Penolong Naib Canselor, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM dan Profesor Dr. Haryani Haron, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM.