JANDA BAIK, 25 Mei 2023 – Kem Kepimpinan Pelajar Fakulti Pendidikan 2022/2023 telah dianjurkan dengan jayanya oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan (SMFP) pada 19-21 Mei 2023 di Kem Teratak Malaya, Janda Baik, Pahang. Kem Kepimpinan Pelajar ini adalah keperluan khusus sementelah tampuk kepimpinan pelajar yang baru telah dilantik dan bakal menerajui sesebuah organisasi. Antara tujuan utama Kem Kepimpinan Pelajar ini adalah bagi memastikan pengurusan organisasi pelajar menjadi lebih efisen dan teratur dengan memperkenalkan dan memberi pendedahan tentang cara berorganisasi secara efektif kepada para pemimpin pelajar. Selain itu, program ini juga adalah bagi memastikan kendiri pemimpin pelajar adalah lengkap dari pelbagai aspek pengurusan organisasi termasuk perencanaan strategi, pengurusan sumber manusia, perancangan projek dan pengurusan kewangan. Seramai 49 orang pemimpin pelajar persatuan dan kelab dalaman Fakulti Pendidikan termasuk ahli Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan telah mengikuti Kem Kepimpinan Pelajar ini selama 3 hari 2 malam. Turut serta bersama para pemimpin pelajar adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP) Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Abdul Rahman, Encik Mohamad Hisyam Ismail dan Puan Munirah Mohd Izam selaku penasihat persatuan masing-masing. Kelancaran perjalanan kem turut dibantu selia oleh para fasilitator dari tim pentadbiran Fakulti Pendidikan, Encik Abdul Rahman Munjiaf dan Encik Kamalrul Shaari.
Setibanya di Kem Teratak Malaya, para pemimpin pelajar dibahagikan kepada 7 kumpulan bagi mengikuti beberapa modul sepanjang berlangsungnya kem. Aktiviti hari pertama dimulakan dengan sesi ‘ice breaking’ agar setiap daripada peserta kem dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Seterusnya, peserta kem mengikuti satu modul yang memerlukan mereka untuk merancang dan melukis negara ideal yang mereka harapkan. Pada hari kedua, seawal jam 6:40 pagi, para peserta kem telah berjoging sejauh 5 kilometer sebagai permulaan hari yang panjang. Peserta kem kemudiannya perlu mengikuti 4 modul berbeza bagi mengasuh daya berfikir yang kreatif dan juga menguji ketahanan mental serta fizikal masing-masing. Antara aktiviti tersebut adalah aktiviti temu bual penduduk Kampung Janda Baik berkenaan masalah atau isu yang dihadapi penduduk dan sekitar kawasan kampung. Melalui aktiviti itu, para pelajar dapat mengetahui asal usul nama Kampung Janda Baik serta isu Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang masih terbengkalai daripada ketua kampung.
Selain itu, para peserta kem juga telah mengikuti satu slot memperkasakan kepimpinan mahasiswa melalui Neuro-Linguistic Programming (NLP) bersama penceramah khas, Yang Mulia Prof. Madya ChM. Dr. Raja Razuan Raja Deris, Timbalan Dekan HEP Fakulti Sains Gunaan. Hasil mengikuti slot beliau, para pelajar dan pensyarah juga dapat mengenalpasti keunikan diri masing-masing menggunakan VAK Learning Style Model. Menurut beliau, adalah amat penting bagi setiap pemimpin untuk mempunyai rapport atau hubungan mesra bersama pelajar lain bagi mempengaruhi mereka dalam konteks yang positif. Tidak dilupakan adalah aktiviti menaikkan tiang bersama 47 orang pemimpin pelajar dalam tempoh 15 minit bagi memupuk sikap bekerjasama dan tatacara penyampaian maklumat secara berkesan.
Pada hari terakhir, Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan turut hadir memeriahkan kem sekaligus merasmikan penutupan program Kem Kepimpinan Pelajar di Teratak Malaya diiringi oleh Dr. Zarizi Abdul Rahman, TDHEP Fakulti Pendidikan. Melalui aktiviti yang diadakan sepanjang kem kepimpinan tersebut, nilai ESI i-DART dapat diterapkan dalam diri masing-masing dalam menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan. Besar harapan semua pelajar agar kem kepimpinan pelajar dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan aktiviti yang lebih menarik. Diharapkan semoga para pemimpin pelajar dapat menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan penuh keikhlasan.
“Tiada kegagalan, hanya maklumbalas.”- YM Prof. Madya ChM. Dr. Raja Razuan Raja Deris