Telegram Keusahawanan FSK 2020

Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menjalankan program Telegram Keusahawan FSK 2020 sebanyak tiga sesi iaitu pada 30 Oktober, 27 November dan 17 Disember 2020. Program ini merupakan sebuah program kolaborasi Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) bersama exco keusahawanan persatuan-persatuan dalaman di Fakulti Sains Kesihatan iaitu Medical Laboratory Technology Student’s Association (MELTECH), Nutrition and Dietetics Student’s Association (NADA) dan Occupational Therapy Student’s Association (OTSA) telah melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam program ini.

Program Telegram Keusahawanan FSK ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar tentang ilmu berkaitan bidang keusahawanan, sekaligus mampu melahirkan pelajar yang berketerampilan bukan sahaja dari sudut akademik, malah bidang keusahawanan juga. Program ini juga adalah untuk menarik minat pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan melalui perkongsian pengalaman panel, iaitu pelajar FSK sendiri yang pernah berkecimpung di dalam dunia perniagaan. Setiap panel telah berkongsi pengalaman mereka di channel telegram tersebut sama ada dalam bentuk kata-kata, pesanan suara, video, gambar dan sebagainya. Hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar FSK, UiTM Puncak Alam telah menyertai program secara atas talian ini.

Seramai tiga orang panel telah dipilih berdasarkan jenis perniagaan yang mereka jalankan untuk berkongsi pengalaman mereka kepada pelajar-pelajar FSK. Program ini telah dijalankan menggunakan platform telegram. Sebagai permulaan bagi sesi pertama, panel yang dipilih ialah saudari Nur Faqihah Binti Kamarusradzi dan merupakan pelajar daripada persatuan Medical Imaging Student’s Association (MISA). Saudari Faqihah berkongsi pengalamannya dengan tajuk berkisar tentang “Kerjaya Dropship Untuk Pelajar”. Perkongsian ini telah menarik minat peserta untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bidang keusahawanan dan mendapat maklum balas yang sangat baik daripada mereka.

Sesi kedua pula menampilkan panel saudari Nurul Izzah Binti Shahruddin, pelajar daripada persatuan SMF itu sendiri. Saudari Izzah merupakan seorang perunding kecantikan bagi sebuah produk yang dikenali ramai iaitu “Mary Kay”. Tajuk perkongsian yang diketengahkan oleh saudari Izzah adalah berkenaan dengan “Cabaran Masa & Tips Perniagaan Atas Talian”. Pelbagai perkongsian dan tips telah disampaikan khususnya kepada pelajar yang berminat untuk menjalankan perniagaan tentang cara untuk membahagikan masa di antara belajar dan perniagaan.

Sesi terakhir menampilkan saudari Nur Ayunni binti Mustafa, pelajar daripada persatuan MISA. Tajuk yang dikongsikan oleh panel ialah “Dropship Produk Makanan”. Perkongsian saudari Ayunni lebih tertumpu kepada perniagaan dropship produk makanan di mana perniagaan ini dilihat semakin mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna. Saudari Ayunni juga berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan perniagaan khususnya sewaktu dalam tempoh Open and Distance Learning (ODL) ini.

Melalui program ini, kerjasama dan interaksi yang baik daripada para pelajar juga ahli jawatankuasa program telah berjaya dilaksanakan malah mereka juga dapat belajar kaedah menggunakan kemahiran teknologi bagi menjayakan program secara atas talian ini. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan dan dijalankan pada sesi akan datang kerana ianya terbukti mampu memberikan impak positif kepada para pelajar khususnya berkaitan ilmu keusahawanan dan seterusnya mampu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan mahasiswa UiTM.