24 September 2024 – Jabatan Sains Matematik dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah telah mengadakan satu program team building yang diberi nama “Survival Synergy towards Team Excellence.” Program ini diuruskan oleh pihak Rock Garden & Himalaya Camping Resort yang dikendalikan oleh Encik Jai dan Encik Zali bertempat di Gopeng Perak.
Aktiviti dimulakan seawal pukul 9.00 pagi dengan sesi ice breaking dan pemanasan badan untuk memeriahkan suasana serta memupuk semangat kerjasama antara para peserta program. Seterusnya, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk memudahkan perjalanan aktiviti. Aktiviti pertama adalah tracking menuju ke tepi sungai di mana semua aktiviti seterusnya akan dijalankan di sana sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Rock Garden & Himalaya Camping Resort.
Sesudah sampainya di tepi sungai, peserta diberikan penerangan dan langkah-langkah awal bagi menghadapi situasi bencana seperti banjir, tanah runtuh, dan cara mengatasi jika tersesat di dalam hutan oleh Encik Jai. Aktiviti ini memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai ilmu survival yang amat berguna dalam keadaan darurat.
Seterusnya, para peserta didedahkan dengan kelengkapan kit ringkas survival moden yang akan membantu jika terjadi bencana antaranya alat untuk menyalakan api, wisel, kit perubatan kecemasan dan lain-lain lagi. Mereka juga diajar cara menyalakan api menggunakan magnesium fire starter dan solid fuel, yang merupakan teknik penting untuk mendapatkan sumber haba dan perlindungan daripada kesejukan. Peserta kemudian turut diajar tentang pengurusan pemakanan untuk kelangsungan hidup, memilih makanan yang sesuai di hutan, serta cara membuang air secara selamat di dalam hutan.
Aktiviti seterusnya melibatkan kemahiran masakan yang bertemakan survival yang dijalankan di dalam kumpulan. Peserta perlu memasak nasi menggunakan buluh, satu kaedah tradisional yang unik dan mencabar. Mereka juga diberikan cabaran untuk memasak ikan mengikut kreativiti masing-masing. Bagi mendapatkan bahan masakan, peserta perlu menyelesaikan pelbagai tugas seperti menyanyi dan berpantun, menjadikan suasana program lebih ceria dan interaktif.
Walaupun program berlangsung dalam keadaan hujan, semua peserta kekal komited dan bersemangat untuk menyelesaikan tugas yang diberikan. Semangat kerjasama dan komunikasi yang baik antara ahli kumpulan menyerlah sepanjang program, menunjukkan keberkesanan aktiviti team building ini.
Program diakhiri dengan sesi penjurian oleh En. Jai dan En. Zali yang menilai hasil kreativiti masakan serta kerjasama kumpulan. Seterusnya, Dr. Nurul Hafizah selaku koordinator program memberikan ucapan penghargaan dan ulasan berkenaan kejayaan dan objektif program ini. Para peserta kemudiannya menikmati makan tengah hari yang disediakan oleh pihak resort, mengakhiri aktiviti dengan penuh keceriaan.
Secara keseluruhan, aktiviti “Team Building: Survival Synergy towards Team Excellence” ini berjaya membina semangat kesatuan dan meningkatkan kerjasama antara peserta. Ia bukan sahaja memberi pendedahan tentang teknik survival, tetapi juga mengeratkan hubungan antara ahli Jabatan Sains Matematik KPPIM UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Penulis bersama: Norshakila Abd Rasid