‘Team Building SMF 2021: The Connect’

17 April 2021 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2020/2021(SMF FSK), telah menutup tirai satu program berperingkat persatuan iaitu Team Building SMF 2021: The Connect yang mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada ahli SMF FSK.

Program kepimpinan anjuran SMF FSK ini bertujuan bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli SMF, membantu ahli SMF dalam mengenal diri sebagai seorang pemimpin, memupuk kepimpinan dalam diri peserta serta semangat kerjasama yang baik. Selain itu, program ini melatih ahli SMF untuk sentiasa bersedia dengan program yang bakal dijalankan serta memupuk nilai-nilai kreatif, berkeyakinan dan bersemangat dalam proses melengkapkan diri dengan modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang pelbagai.

Program yang julung kali dilaksanakan secara atas talian di platform Microsoft Teams dan Google Meet ini bermula pada jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 3.30 petang. Seramai 24 orang peserta telah menyertai program ini termasuk seorang Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan (MPP FSK) iaitu saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani.

Antara LDK yang dijalankan adalah Hall of the Icebreaking, Puzzling Plot, Three truths and a lie. Setiap ahli SMF yang terlibat dibahagikan kepada empat kumpulan dan diikuti dengan Person-In-Charge (PIC) yang bertugas bagi melibatkan diri secara aktif bersama ahli kumpulan masing-masing. Disebabkan program ini dijalankan secara atas talian dan hanya tertumpu kepada skrin peranti masing-masing, pihak penganjur mengambil kira faktor kesihatan dengan mengaplikasikan satu slot LDK iaitu Sit & stretch yang melibatkan regangan serta senaman badan untuk membantu para peserta sentiasa bergerak aktif meskipun hanya di hadapan skrin.

Program ini diakhiri dengan keunikan sebuah slot pada sebelah petang iaitu aktiviti Mock Program yang berkonsepkan perkongsian pengalaman secara sembang santai bersama pelajar yang berpengalaman dalam kepimpinan iaitu saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani, MPP FSK dan saudari Nurul Izzati Binti Sujak, presiden SMF FSK sesi 2020/2021. Para peserta yang terlibat telah dipilih untuk menjadi ahli jawatankuasa (AJK) yang dibimbing oleh Majlis Tertinggi SMF FSK bagi mengendalikan program ini dan memberi pendedahan secara terus tentang prosedur serta mempelajari skil menjalankan sesebuah program.

Secara keseluruhan, program ini dapat dijalankan dengan lancar dan diharapkan segala ilmu dan pengalaman melalui program ini dapat diaplikasikan oleh setiap peserta serta AJK bagi masa depan organisasi persatuan yang lebih cerah dan efektif.