10-11 Julai 2024: Program Team Building Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah selesai diadakan di Sedim Riverside Resort, Karangan Kedah pada 10-11 Julai 2024. Program ini merupakan inisiatif Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Juhaizad Ahmad dan Koordinator Program Sarjana CEEC707 Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Siti Hafizan Hassan dengan kerjasama Unit Kebajikan, Sukan dan Khidmat Masyarakat, Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program yang bertemakan Sinergi ke Arah Pemantapan Kerja Berpasukan Dalam Organisasi menjadi teras utama bagi pehlaksanaan program Team Building kali ini. Program ini berpaksikan kepada empat objektif utama program menerapkan kesedaran berkenaan kepentingan peranan individu di dalam organisasi, memupuk sikap tangggungjawab di kalangan individu serta berkumpulan, menerapkan sikap saling hormat-menghormati sesama ahli dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta mewujudkan suasana kerja yang ceria serta produktif di dalam merealisasikan matlamat organisasi.
Program Team Building ini melibatkan 85 orang staf Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang yang terdiri daripada pensyarah, penolong jurutera dan pembantu makmal dari empat bidang utama iaitu Construction Engineering and Project Management (CEPM), Water Resources and Environmental System (WRES), Geotechnical and Transportation Engineering (GeoTrEn), dan Structural and Material Engineering (StrucM). Dengan penerapan unsur persefahaman, kerjasama dan pemuafakatan antara ahli dalam organisasi di dalam program Team Building ini dapat memberi sinergi baru tentang pentingnya semangat kerjasama dan setiakawan dalam sesebuah pusat pengajian di samping sikap toleransi di kalangan ahli bagi membentuk organisasi ke arah pemantapan nilai I-DART iaitu nilai peribadi yang merupakan lima nilai asas dan penting yang perlu ada dalam diri setiap warga UiTM yang secara positifnya akan mendukung nilai ESI (Excellence, Synergy, Integrity) selaras dengan misi dan visi UiTM.
Program yang berjalan selama dua hari yang bertempat di Sedim Riverside Resort ini bermula seawal 9.00 pagi, di mana pada permulaan aktiviti, semua staf telah dibahagikan kepada 4 kumpulan utama mengikut warna rumah masing-masing (merah, biru, hijau dan kuning). Aktiviti team building pada hari pertama ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh Dr. Mohd Samsudin Abdul Hamid bagi menerangkan berkenaan objektif dan peraturan bagi setiap permainan dan diikuti dengan senamrobik yang dikendalikan oleh staf Sedim Riverside Resort iaitu Cik Nurul Shahila Shahri Azhar. Antara permainan yang dijalankan pada sesi pagi adalah Tarantula, Tuju Tin dan Ceboq Ayaq Sungai,h manakala permainan Football Dart diadakan pada sesi petang. Pada sebelah malam pula, sesi dimulakan dengan bacaan Yasin dan pengisian rohani oleh Dr. Anas Ibrahim bertajuk ”Menggapai Kebahagiaan dengan Menjaga Hubungan dengan Sesama Pencipta dan Makhluk”, seterusnya diikuti dengan aktiviti permainan tradisional iaitu Batu Seremban, Tutup Botol dan Dam Aji. Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan Treasure Hunt Games dan diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah. Rumah Biru yang diketuai oleh Ir. Dr. Mohd Ashaari Masrom telah menjadi juara bagi keseluruhan Team Building.
Melalui program Team Building PKA ini, rata-rata staf menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan selama dua hari ini. Pelbagai ilmu dan pengalaman baharu yang diperolehi serta bermanfaat untuk dipraktikkan bagi meningkatkan tahap kepercayaan, saling hormat-menghormati sesama ahli, mengeratkan ikatan di kalangan ahli dan seterusnya dapat meningkatkan nilai penghayatan dan kefahaman mengenai konsep dan kepentingan budaya kerja yang cemerlang di dalam diri masing-masing bagi pembentukan organisasi yang mantap di masa akan datang.
Penulis bersama: Satira Hambali, Juzailah Nur Yunus, Siti Hafizan Hassan, Ng. Kok Shien, Mohd Samsudin Abdul Hamid, Zul Azmi Mohtar, Mohd Zaini Endut, Hazrina Ahmad, Nurulzatushima Abd Karim, Adhilla Ainun Musir, Kamsiah Abdul Wahab, Md Faizal Zakaria, Suzana Ahmad, Nurol Nor Fazlina Fazli dan Mohamad Azrul Aswad Mohamad Nor.