Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, 25 April 2021: Program Team Building FSK: Leader In Me anjuran Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam merupakan program yang julung kali diadakan secara atas talian bagi membentuk dan menggilap potensi kepimpinan setiap pemimpin persatuan-persatuan FSK serta mengukuhkan hubungan sesama mereka. Selain itu juga, objektif program ini adalah untuk memupuk sikap tolak ansur dan komitmen yang tinggi dalam aspek gerak kerja mahupun perbincangan. Seramai 83 orang mahasiswa telah mengambil bahagian dalam program ini sebagai peserta yang rata-rata merupakan majlis tertinggi setiap persatuan.
Bagi melahirkan mahasiswa dan pemimpin yang berintegriti, bakat dan kemahiran mereka haruslah diasah dan dibentuk melalui pelbagai jenis aktiviti dan tanggungjawab. Namun, sepanjang pandemik Covid-19, kebanyakkan aktiviti yang melibatkan kerjasama antara barisan pimpinan Fakulti Sains Kesihatan terpaksa ditangguhkan. Perkara ini dibimbangi dapat menjejaskan kemahiran dan potensi mahasiswa yang sedia ada. Oleh itu, program ini merupakan salah satu alternatif persatuan SMF FSK untuk tetap menjalankan program sebegini, yang bersesuaian dengan keadaan yang dihadapi sekarang.
Team Building FSK: Leader In Me telah dirasmikan oleh Encik Romizan bin Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Program ini mengandungi dua slot yang berdurasi tiga jam setengah dan dijalankan melalui platform Microsoft Teams. Aktiviti dimulakan dengan slot bersama penceramah jemputan, Prof Madya Ts Dr Sheikh Ahmad Izaddin bin Sheikh Mohd Ghazali yang merupakan pensyarah di UiTM Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah. Pada slot pertama, terdapat dua sesi dimana sesi pertama merupakan talk session yang bertajuk Leader In Me. Pelbagai pengisian yang menarik dan berilmiah disampaikan secara santai oleh beliau yang amat membantu para peserta program dari segi kemahiran dan ilmu. Melalui sesi ini, para peserta dapat memahami dan menghayati erti tanggungjawab seorang ketua serta meningkatkan keterampilan dan keyakinan mereka sebagai pemimpin.
Sesi kedua pula ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dimana para peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan telah diberi tugasan untuk diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu 15 minit waktu perbincangan sebelum dibentangkan kepada penceramah jemputan. Aktiviti ini bukan sahaja mampu memupuk sikap optimis dan proaktif dalam diri para peserta, malah ia dapat membantu memperkukuhkan semangat kerjasama dan hubungan antara pimpinan persatuan. Serusnya, slot kedua merupakan slot Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FSK bersama barisan pimpinan persatuan-persatuan. Slot ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman MPP dan cara mereka mengendalikan sesuatu organisasi dengan bijak dan strategik supaya ia dapat dijadikan inspirasi bagi barisan pimpinan untuk memperkasakan badan kepimpinan ke arah melahirkan pemimpin berwibawa.
Secara umumnya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan telah berlangsung dengan jayanya. Para peserta telah memberi maklumbalas yang positif dan berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi di masa hadapan.