2 September 2024 – Satu lawatan kajian lapangan ke tasik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Tapah telah dilakukan oleh pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan staf Unit Makmal Sains bagi mengenal pasti potensi tasik ini sebagai lokasi baru untuk penyelidikan. Lawatan ini disertai oleh 8 orang pensyarah Fakulti Sains Gunaan yang diketuai oleh Dr. Mimi Sophia Sarbandi dan turut serta 9 orang staf Unit Makmal Sains.
Objektif utama lawatan kajian ini adalah untuk mengenal pasti tasik ini sebagai potensi lokasi penyelidikan di dalam kampus. Kajian awal tinjauan ke tasik ini dijalankan terhadap serangga, tumbuhan, ikan, kualiti air bagi memahami ekosistem dan kesannya terhadap biodiversiti di sekitar kawasan tasik ini. Tasik ini merupakan tasik terbiar yang terletak berhampiran dengan pintu masuk utama UiTM Kampus Tapah yang berkeluasan 4483 m2. Tasik ini juga berpotensi sebagai lokasi penyelidikan untuk para pelajar menjalankan projek tahun akhir bagi program Diploma Sains.
Hasil dapatan kajian awal ini mendapati kualiti air tasik adalah pada tahap baik dan sesuai untuk dijadikan kawasan penternakan ikan air tawar seperti ikan tilapia hitam. Dengan itu, hasil kajian awal ini mampu mencetuskan pelbagai idea penyelidikan dalam pelbagai bidang kepada para pensyarah untuk meneroka tasik ini sebagai lokasi penyelidikan baru. Hasil usaha kajian awal ini juga telah mendapat sokongan dan kebenaran daripada pihak pengurusan UiTM Kampus Tapah. Semoga kajian awal ini dapat dikembangkan kepada pelbagai hasil penyelidikan seterusnya mampu meningkatkan kualiti penerbitan para pensyarah dan penyelidik yang terlibat.