Tanggungjawab Sosial Universiti (USR): Pemeriksaan Kecacatan di Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River

Slim River, 20 Ogos 2024 – Program kerja-kerja pemeriksaan kecacatan di Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River, Perak telah dilaksanakan dengan jayanya pada 22 Mei 2024 hari Rabu bermula dari jam 8 pagi sehingga 4 petang. Beberapa orang pensyarah daripada Program Ukur Bangunan, UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Kolej Komuniti Tapah telah dijemput oleh kariah Masid Tinggi (Masjid Lama) Slim River Perak untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) telah disertai seramai 10 staff akademik dan 10 orang pelajar serta mendapat bantuan daripada kariah Surau Tinggi Kampung Balun. Kerja-kerja pemeriksaan telah diketuai oleh Sr. Dr. Mohamad Haszirul Bin Mohd Hashim selaku Pengarah Projek. Objektif program USR lebih menumpukan pada pendedahan industri dalam pemeriksaan kecacatan bangunan disamping membantu pihak surau menyediakan laporan kerosakan untuk memohon peruntukkan baikpulih.

Melalui program ini juga, pelajar dapat mengenalpasti keadaan sebenar jenis dan tahap kecacatan yang terdapat pada bangunan Surau Tinggi. Ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar universiti daripada Jabatan Ukur Bangunan bagi mempraktikan teori kod BST205 iaitu Amalan Ukur Bangunan. Ini bagi memastikan kemahiran pembelajaran tafsiran pada skala penilaian kecacatan pada bangunan berada pada tahap yang optimum.

Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River dibina pada tahun 1925. Pembinaan surau ini dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk terawal seramai 12 orang penduduk kampung yang diketuai oleh pengasas kampuang iaitu Mohd Ibrahim Bujang. Surau tiga tingkat ini mempunyai keunikan tersendiri kerana binaannya tidak menggunakan paku, mimbar terletak di tengah-tengah surau dan tingkat tertingginya dijadikan tempat tinjauan untuk memerhati ke seluruh kampung. Surau ini digunakan oleh penduduk terawal kampung ini, bukan sahaja sebagai tempat ibadat tetapi juga untuk aktiviti kemasyarakatan.

Surau Tinggi ini telah terbiar agak lama semenjak pembinaan masjid baru dari tahun 2021. Walaupun struktur surau tinggi ini telah hampir berusia 100 tahun, namun begitu struktur surau seperti tiang, rasuk, gelegar, tiang, tunjuk langit dan kasau masih berkeadaan baik jika diukur dari segi usia rumah.

Menurut kariah surau, terdapat beberapa struktur bangunan seperti tiang dan rasuk telah reput dan menyebabkan sebahagian bawah masjid sudah tidak stabil dan kelihatan condong. Oleh yang demikian, kerja-kerja pemeriksaan tertumpu kepada kerja-kerja penilaian kecacatan, baikpulih dan cadangan penyelenggaraan yang perlu dilakukan pada bangunan surau. Anggaran kos baikpulih juga turut disediakan selepas sesi pemeriksaan selesai.

Program USR bermula pada jam 9.00 pagi dengan taklimat kerja oleh Pengarah Projek Sr. Dr. Mohamad Haszirul Bin Mohd Hashim kepada peserta program. Peserta akan diagihkan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut kepada aktiviti kerja-kerja seperti melukis, pengukuran dan penilaian tahap kecacatan pada bangunan surau. Setiap kumpulan akan diketuai oleh 2 orang pensyarah sebagai fasilitator untuk penerangan tahap penilaian kecacatan dan memantau kemajuan kerja

Diharapkan program seumpama ini dapat memberi impak positif kepada kariah Surau Tinggi Kampung Balun Slim River. Ia juga sebagai sumbangan pratikal melalui tanggungjawab sosial universiti (USR) di kalangan pelajar dan pensyarah akademik. Selain itu juga USR ini dapat memberi pendekatan “Community-Based Approach” iaitu dengan mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam pemeriksaan bangunan kepada komuniti. Ini dapat membina kesedaran dan keprihatinan terhadap komuniti selain dapat membantu menyediakan peruntukkan baikpulih surau diperlukan oleh pihak surau.

Program ini berjalan dengan lancar dan jayanya dengan majlis penutup jam 4.00 petang. Pihak universiti dan kariah surau Surau Tinggi menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membuat pemeriksaan bangunan surau sambil berkongsi sejarah dari segi pembinaan dan aktiviti yang dijalankan di surau ini.  Program ini juga melibatkan kerjasama dan sokongan, langsung dan tidak langsung dari pelbagai pihak untuk menjayakan usaha ini. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dan juga ahli kariah Surau Tinggi Kampung Balun Slim River di atas program ini.

Penulis : NURHIDAYAH SAMSUL RIJAL, SR. DR. MOHAMAD HASZIRUL BIN MOHD HASHIM, MUHAMMAD RUZAINI RAMLAN