Taklimat Program Pra Pendidikan Tinggi UiTM Bersama Majlis Guru Kaunseling Port Dickson (MGKPD)

Pada 24 Mei 2022, Unit Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menerima undangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson untuk memberikan sedikit taklimat berkenaan dengan program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) kepada hampir 40 orang kaunselor dalam daerah Port Dickson, bersempena dengan Program Pemantapan Profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling & Majlis Apresiasi MGKPD 2022 yang berlangsung di Port Dickson & Country Club.

Taklimat telah disampaikan oleh Ts. Siti Nafisah Md Rashid selaku Koordinator Program PPT UiTM Cawangan Negeri Sembilan dibantu oleh Pn. Siti Noriah Mohd Shotor selaku Penyelaras Program Pra Sains. Program ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Kamanizam bin Haji Tindek selaku Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, En. Bakri Mohd Noor bin Kushairi, Penolong Pegawai Pendidikan (Unit Hal Ehwal Murid), dan Puan Siti Nur Ilhami Mohd Sharifudin selaku Yang di-Pertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Daerah Port Dickson.

Menerusi program ini, para kaunselor telah diberikan maklumat terkini berkaitan dengan peluang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM khususnya melibatkan program pra diploma. Sebanyak 5 program ditawarkan bagi kemasukan sesi Oktober 2022 iaitu Pra Diploma Sains, Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi, serta Pra Diploma Pengajian Islam. Kesemua program ini adalah terbuka kepada calon-calon daripada kategori B40 mahupun bukan B40. Bagi calon-calon yang berminat, mereka bolehlah mengisi borang permohonan secara atas talian bermula pada 1 Jun 2022 ini.

Sehubungan dengan itu, calon perlulah mendapatkan nombor pin terlebih dahulu daripada mana-mana Unit PPT kampus cawangan melalui emel, bagi membolehkan mereka mempunyai akses untuk mengisi borang permohonan secara atas talian. Dalam waktu yang sama, mereka juga perlu melampirkan beberapa dokumen sokongan kepada Unit PPT kampus cawangan bagi tujuan semakan dan pengesahan permohonan. Tempoh masa pengajian peringkat pra diploma adalah antara 6 bulan sehingga 1 tahun, bergantung kepada program yang dipilih oleh calon.

Selain daripada sesi taklimat daripada UiTM, terdapat juga sesi perkongsian oleh bahagian MARA berkenaan dengan peluang-peluang pengajian dan pinjaman pelajaran yang ditawarkan oleh pihak MARA. Majlis turut diserikan lagi dengan sambutan hari raya aidilfitri dengan menikmati aneka juadah istimewa seperti lemang, rendang, laksa, nasi himpit, kuah kacang dan banyak lagi, di samping meraikan guru-guru kaunselor yang bakal bersara tidak lama lagi.