Taklimat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Bersama Kaunselor-Kaunselor Sekolah Menengah Daerah Jempol & Jelebu

Satu sesi perkongsian berkenaan dengan halatuju pendidikan selepas SPM telah diadakan bersama dengan 20 orang guru kaunselor sekolah menengah dalam daerah Jempol dan Jelebu, Negeri Sembilan pada 23 Februari 2022 yang lalu. Perkongsian ini telah diadakan menerusi pelantar Google Meet dan disampaikan oleh Ts. Siti Nafisah Md Rashid selaku Koordinator Program PPT UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Menerusi program ini, para kaunselor telah diberikan informasi terkini berkaitan dengan peluang pengajian yang ada ditawarkan di UiTM untuk para pelajar lepasan SPM, khususnya ke program Pra Pendidikan Tinggi. Sebanyak 5 program pengajian di peringkat pra diploma ditawarkan bagi kemasukan sesi Mac 2022 seperti program Pra Diploma Sains, Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi, serta satu lagi program baharu iaitu Pra Diploma Pengajian Islam. Kesemua program ini adalah terbuka kepada semua kategori pendapatan keluarga, sama ada golongan B40 mahupun bukan B40.Selain daripada itu, para kaunselor juga telah dimaklumkan bahawa kaedah permohonan ke program PPT ini bukanlah menerusi sistem UPU. Sebaliknya, calon lepasan SPM yang berminat untuk memohon perlulah mendapatkan nombor pin secara percuma terlebih dahulu daripada mana-mana Unit PPT kampus cawangan, bagi membolehkan mereka mempunyai akses untuk mengisi borang permohonan secara atas talian. Di samping itu, calon-calon juga perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan untuk dimajukan kepada Unit PPT kampus cawangan bagi tujuan semakan dan pengesahan permohonan. Tempoh masa pengajian adalah antara 6 bulan sehingga 1 tahun, bergantung kepada program yang dipilih oleh pelajar.

Melalui program sebegini, diharapkan para kaunselor dapat menyebarluas informasi kepada para pelajar di sekolah mereka, di samping menggalakkan lebih ramai pelajar di sekitar kawasan Negeri Sembilan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menjadikan UiTM sebagai institusi pilihan pertama mereka.