BOTA, 04 April 2024 – Pada 5 Februari 2024, Jawatankuasa Misi Akademik Universiti Teknologi MARA, kampus Seri Iskandar telah dijemput ke SMK Dato Abdul Rahman Yacob bagi mengadakan taklimat khusus yang bertujuan untuk membimbing para pelajar dalam proses permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) online serta pemilihan kursus yang sesuai. Objektif utama program Misi Akademik ini adalah untuk mempromosikan UiTM secara berterusan dan memberi pendedahan terperinci berkenaan program-program dan syarat-syarat am kemasukan ke UiTM kepada para pelajar sekolah diseluruh Malaysia.
Taklimat tersebut menjadi langkah awal bagi para pelajar SMK Dato Abdul Rahman Yacob untuk merancang hala tuju akademik mereka. Dalam taklimat ini, mereka diberikan panduan menyeluruh tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam proses permohonan ke universiti, dengan penekanan khusus pada prosedur permohonan UPU online.
Selain itu, para pelajar turut diberikan maklumat tentang perbagai program pengajian yang ditawarkan di UiTM. Dengan objektif misi akademik yang jelas, UiTM menawarkan pelbagai cabang bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan banyak lagi. Taklimat ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk meneroka minat dan bakat mereka sendiri agar dapat memilih kursus yang paling sesuai dengan potensi dan tujuan kerjaya mereka.
Sesi taklimat ini juga menekankan kepentingan sokongan dan bimbingan yang diberikan kepada pelajar semasa proses permohonan dan sepanjang pengajian mereka. UiTM menawarkan pelbagai kemudahan seperti kaunseling, perpustakaan, dan pusat pengajian untuk menyokong pembangunan keseluruhan pelajar.
Dengan menghadiri taklimat ini, para pelajar SMK Dato Abdul Rahman Yacob dapat gambaran yang sebenar berkenaan menyambung pengajian ke peringkat yang seterusnya. UiTM Perak dan SMK Dato Abdul Rahman Yacob bekerjasama untuk memberikan sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk pelajar ini mencapai impian akademik mereka.
Diharapkan, melalui taklimat ini, para pelajar dapat kefahaman yang lebih baik tentang proses permohonan ke universiti serta dapat merancang masa depan akademik mereka dengan lebih baik. UiTM Perak khususnya komited untuk memberikan pendidikan berkualiti tinggi yang bukan hanya menyediakan pelajar untuk pasaran kerja, tetapi juga membentuk pemimpin masa depan yang berintegriti dan cekap.