Taklimat Percukaian Individu: Anjuran Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang

Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. Dikenali sebagai agenda tindakan untuk manusia, planet dan kemakmuran, SDGs adalah kesinambungan daripada Matlamat Pembangunan Millennium (Millennium Development Goals- MDGs) dan merangkumi semua isu pembangunan lestari. SDG menangani cabaran-cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG. Bagi menyahut saranan negara untuk bidang SDG 4: Pendidikan Berkualiti, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh telah berjaya menganjurkan program Webinar Taklimat Percukaian Individu pada 17 Mac 2022 (Khamis), bermula jam 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari, yang bertajuk “Tanggungjawab Pembayar Cukai Dan Perancangan Cukai Yang Optimum” menggunakan medium dalam talian maya Webex.

Tujuan program Webinar ini diadakan adalah bagi memberi penerangan mengenai tanggungjawab individu sebagai pembayar cukai serta memberi pendedahan tentang perancangan cukai bagi mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Oleh demikian, program Webinar ini telah menjemput Encik Aiman bin Mohammad, pegawai dari LHDN, selaku penceramah utama bagi menyampaikan maklumat yang tepat sejajar dengan tajuk program. Beliau turut dibantu oleh Puan Sharifah binti Iberahim dan Puan Fatihah binti Abd. Razab yang juga merupakan pegawai LHDN dan pada masa yang sama merupakan alumni UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah dikendalikan oleh Puan Nurul Afzan binti Najid yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang merangkap moderator bagi program Webinar tersebut. Program ini juga telah berjaya menarik minat 2,392 orang peserta yang terdiri daripada staf UiTM dari seluruh Malaysia dan komuniti luar.

Sepanjang sesi program Webinar selama 2 jam 30 minit ini, Encik Aiman telah menjawab pelbagai persoalan mengenai percukaian individu serta sistem e-filing terutamanya berkenaan dengan pelepasan yang layak dimohon oleh pembayar cukai. Melalui sesi ini juga, banyak persoalan yang diberikan oleh para peserta yang dapat dirungkaikan dan secara tidak langsung telah memberi ilmu kepada para peserta untuk mengisi borang percukaian melalui sistem e-filing dengan lebih telus. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan pendidikan berkualiti.

Selain mencapai SDG 4: Pendidikan Berkualiti, melalui program ini, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang juga telah memenuhi beberapa Performance Index yang menjadi agenda penting bagi universiti, iaitu PI84 – Number of University Social Responsibility programmes (USR), PI88 – Number of communities receiving/benefiting from the knowledge/technology diffusion projects dan PI89 – Number of alumni expert service programme.

Jawatankuasa Pelaksanaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai LHDN iaitu Encik Aiman bin Mohammad, Puan Sharifah binti Iberahim dan Puan Fatihah binti Abd. Razab serta para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.