Seramai 30 orang pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Sarawak yang telah dilantik sebagai penulis SRR menghadiri taklimat berkenaan di Bilik Mesyuarat Utama (BMU) pada 6 Febuari 2024. Taklimat ini bertujuan untuk memberi panduan serta memperjelaskan proses penulisan PSRR bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan dalam proses penilaian prestasi akademik.
Taklimat yang disampaikan oleh Cik Dayang Nazari binti Awg Drahman, Pensyarah Kanan dari Fakulti Perakaunan, memberi tumpuan kepada langkah-langkah praktikal yang perlu diambil oleh pensyarah dalam penyediaan PSRR 2024. Beliau menegaskan bahawa SRR adalah instrumen yang penting dalam menilai prestasi akademik setiap pensyarah, serta membantu dalam merangka strategi penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Cik Dayang Nazari juga turut memberi penjelasan berkenaan dengan segala dokumen yang perlu disediakan bagi peringkat kursus dan juga program. Beliau menekankan pentingnya pengumpulan data yang teliti dan lengkap untuk menyokong penulisan PSRR yang berkualiti.
Antara perkara yang diberi penekanan dalam taklimat ini adalah kepentingan membangunkan matlamat akademik yang jelas, merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang inovatif, serta mengukur pencapaian hasil pembelajaran. Pensyarah juga diajar untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengajaran mereka serta merangka strategi penambahbaikan yang bersesuaian. SRR adalah alat penting dalam memperkasakan budaya kecekapan akademik di kalangan pensyarah universiti.
Komitmen para para pensyarah dalam taklimat ini menunjukkan kesedaran mereka terhadap pentingnya penilaian prestasi akademik dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti. Diharapkan, dengan panduan yang diberikan, pensyarah akan dapat menyediakan SRR 2024 yang lebih komprehensif dan berkualiti, menjadikan proses penilaian prestasi akademik lebih efektif dan bermakna.