KOTA KINABALU, 11 Januari 2024 – Membuka tirai tahun baharu 2024, Siri Latihan dan Perkongsian Upskilling dan Reskilling bagi peningkatan kompentensi Staf UiTM Cawangan Sabah telah dilaksanakan. Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Sabah telah menganjurkan SIRI ‘KASI UP BAH SKILL MU!” – Taklimat Pengurusan Mesyuarat oleh Puan Aminah Aman, Timbalan Pendaftar Kanan.
Bagai air mencari jenisnya, usaha untuk mencari ilmu dan menambah kompentensi Warga UiTM Cawangan Sabah adalah antara langkah proaktif dan penambahbaikan berterusan dalam memastikan staf kekal relevan dan kompeten dalam penyampaian perkhidmatan yang cemerlang. Siri latihan kali ini disertai oleh setiausaha dan urus setia mesyuarat jawatankuasa / mesyuarat utama serta mesyuarat dalaman Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UiTM Cawangan Sabah yang melibatkan seramai 30 staf.
Antara elemen penting dalam pengurusan mesyuarat adalah pra mesyuarat (persediaan sebelum mesyuarat), semasa mesyuarat dan post mesyuarat (persediaan selepas mesyuarat). Selain menggunakan kepakaran dalaman, siri latihan ini dirangka mengikut set kompentensi skim perkhidmatan yang berkuatkuasa di UiTM Cawangan Sabah. Timbalan Pendaftar Kanan juga berkongsi beberapa tips pengurusan mesyuarat yang efisen bersama peserta. Siri latihan ini bukan sahaja membantu staf baharu malah memberi pendedahan kepada staf sedia ada untuk menambah ilmu pengetahuan serta nilai kemahiran sedia ada dalam mendepani cabaran masa kini. Allah berfirman di dalam Surah Al – An’kaabut ayat 43, Al Quran:
وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ ۖ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ
Yang bermaksud: Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.