Pada 23 dan 24 Nov yang lalu, kumpulan pengurusan Pra Pengajian Tinggi UiTM Shah Alam telah berpeluang mengadakan taklimat di dua sekolah sekitar Langkawi iaitu Sek Menengah Kebangsaan Tunku Putra di Padang Matsirat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi di Pulau Tuba. Program ini telah mendapat kelulusan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan telah mematuhi prosedur SOP yang telah digariskan.
Tujuan program ini adalah bagi menerangkan peluang melanjutkan ke pengajian tinggi UiTM khususnya melalui peluang kedua melalui program Pra Diploma UiTM. Selain itu, menerusi Grant UiTM Lestari SDG-T 5/3 (117/2019) PPT telah menjalankan kajian serentak berkaitan satu animasi interaktif yang telah dibangunkan. Animasi interaktif ini juga telah dipertandingkan di VIC 21 dan telah mendapat silver award. Objektif utama kajian ini untuk membangunkan agen pedagogi animasi (APA) dan menganalisis faktor motivasi dalam kalangan persepsi pelajar melalui aplikasi ini.
Aplikasi ini ialah watak pada skrin animasi yang membantu pelajar dalam persekitaran pembelajaran multimedia, dan ia digunakan dalam aplikasi ini untuk menjadikan aplikasi lebih interaktif dengan membantu pengguna sepanjang soal selidik. Selain APA, kesan bunyi juga digunakan sebagai satu bentuk maklum balas seperti apabila pengguna mengklik pada pilihan jawapan yang diberikan. Beberapa imej visual yang berkaitan dengan soalan juga ditambah untuk memberi pemahaman lanjut tentang soalan kepada responden.
Di samping itu, imej visual digunakan untuk menarik perhatian pengguna untuk lebih penglibatan. Hasil kajian ini memberi implikasi strategik kepada pihak tertentu dan institusi pengajian tinggi, Pejabat Pra Pendidikan Tinggi khasnya dalam usaha membantu anak-anak muda di Pulau Langkawi merealiasikan aspirasi mereka. Taklimat yang disertai dalam 100 dan 50 pelajar di Sekolah Tunku Putra dan Sek Pulau Langkawi dan guru-guru kelas, kaunselor serta pengetua telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan pelajar bersemangat memberi pendapat semasa sesi temubual dijalankan.