21 Ogos 2024 – Program Syarahan dan Artis Tamu (Guest Lecture & Artist Lecture) sempena International Symposium of Language & Arts Education (iSOLA) 2024 ke-5 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia. Acara sehari ini menyaksikan penyertaan aktif pensyarah dan pelajar dari Malaysia dan Indonesia, dengan kehadiran tetamu kehormat YBhg. Prof. Dr. Sharifah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM; YBhg. Prof. Dr. Musdi Shanat, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS; dan YBrs. Profesor Madya Dr. Hutkemri, Timbalan Dekan (Pembangunan), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya sebagai pembentang bagi kertas institusi.
Bertemakan “Cultural Locality and Global Creativity: Researching Artistic Expression, Sustainability and Cultural Exploration through Technology and Pedagogy,” program ini dibahagikan kepada dua sesi utama. Sesi Syarahan Tamu di sebelah pagi merangkumi empat bilik kuliah terpilih yang membincangkan subtema Ketahanan dan Penciptaan Semula (Pedagogi), Memupuk Jati Diri dan Kekitaan (Budaya), Membina Laluan untuk Perkongsian dan Penglibatan (Rangkaian), dan Pemikiran Kreatif dan Spekulatif (Teknologi). Setiap penceramah tamu diberi masa 40 minit untuk membincangkan tatakelola dan pengurusan pendidikan seni, bahasa dan budaya, menyediakan platform untuk perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman antara pensyarah, mahasiswa, pakar industri, dan pakar bidang dari kedua-dua negara.
Sesi petang diisi dengan Bengkel Artis Tamu yang berlangsung di pelbagai studio di Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, UNY. Aktiviti menarik termasuk penghasilan cetakan eco dan cop ataupun blok batik dari kertas terbuang di Studio Batik, integrasi tradisional dan AI generatif dalam rekaan batik Malaysia di Studio Seni Reka Industri, serta bengkel seni muzik angklung di Studio Seni Tari dan Muzik. Program ini mendapat sambutan hangat dari pelajar UNY dan peserta dari pelbagai institusi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sekolah Seni Malaysia, Yayasan Seni Selangor, Galeri Shah Alam, dan Institut Pendidikan Guru.
Diharapkan iSOLA 2024 dapat meraikan budaya penerokaan, penghayatan dan penyelidikan dalam pendidikan bahasa, seni dan budaya dari dua negara serumpun. Program ini menekankan kepentingan penguasaan ilmu dan kemahiran dalam bahasa dan seni visual untuk memahami budaya kedua-dua negara dengan lebih mendalam. Pengalaman yang diperoleh melalui aktiviti dan program ini diyakini akan memberikan impak bermakna kepada ahli akademik, mahasiswa dan peserta iSOLA 2024, seterusnya memperkukuh jalinan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia. Dengan penyertaan pelbagai institusi dan universiti, iSOLA 2024 telah berjaya menjadi platform penting dalam memajukan pendidikan seni dan bahasa di rantau ini, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Oleh: Sumardianshah Bin Silah (Pengarah iSOLA2024)