2 Disember 2024 – Anjung Pusat Kegiatan Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri, Sembilan Kampus Seremban telah menjadi saksi kepada tindakan advokasi pelajar-pelajar semester akhir program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) AM226 dalam meningkatkan kesedaran warga universiti berkaitan isu penipisan ozon global yang semakin serius. Penganjuran SDG Day and Exhibition (DEx) merupakan salah satu bentuk pameran akademik dan kempen yang wajib dilaksanakan oleh pelajar semester akhir AM226 dibawah kod kursus EVA630 (Sustainable Development Strategies). Kod kursus ini mewajibkan para pelajar untuk melaksanakan program berteraskan SDG dan bagi Semester Oktober 2024 – Februari 2025, tema yang dipilih adalah SDG13 (Climate Action) dengan menekankan langkah-langkah pengurangan impak penipisan lapisan ozon global. DEx kali ini selari dengan Sambutan Hari Ozon Sedunia yang bertemakan “Montreal Protocol: Advancing Climate Action”.
Antara pengisian program DEx kali ini adalah pameran berkaitan Ozon, SDG games, Ted Talk Corner, plastic fusing dan advokasi secara langsung berkaitan impak pemanasan global. Program ini telah berjaya memupuk kefahaman mengenai pelbagai isu alam sekitar, terutamanya penipisan lapisan ozon yang mungkin isu asing bagi pelajar-pelajar dalam bidang pengajian yang lain. Para pelajar AM226 telah berjaya menyediakan rerurai pameran menarik dan informatif, yang memfokuskan isu-isu berkaitan ozon serta penyelesaian mampan. Pameran mereka turut dihiasi dengan model interaktif dan bahan visual yang menjelaskan kepentingan memelihara lapisan ozon demi kesejahteraan generasi akan datang.
Melalui sesi Ted-Talk, ia dapat memberikan advokasi terbuka kepada pelajar dan tetamu yang hadir, berkongsi fakta dan penyelesaian terhadap ancaman penipisan lapisan ozon. Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan perubahan sikap dan tindakan dalam kalangan komuniti kampus. Program ini turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) serta warga akademik yang meluangkan masa melawat pameran pelajar. Kehadiran mereka bukan sahaja memberikan sokongan moral kepada pelajar tetapi juga menunjukkan komitmen institusi dalam mendukung inisiatif pembangunan mampan.
Bahan-bahan pameran yang disediakan oleh para pelajar adalah menggunakan konsep kitar semula, yang merupakan bahan-bahan terbuang bagi memanjangkan hayat produk-produk tersebut. Hal ini selari dengan matlamat BEVA yang menggalakkan amalan cara hidup lestari selaras dengan yang digariskan di bawah SDG 12 (Responsible Consumption & Production).
Dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan, pelajar semester akhir program BEVA sekali lagi membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar di bilik kuliah, tetapi juga dapat diterjemahkan dengan memberi impak positif kepada masyarakat. Program ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi pelajar seterusnya dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
Nama Penulis: Nur Liyana Hussin, Mohd Idham Mohd Yusof