Sultan Selangor berkenan berbuka puasa bersama warga UiTM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan baginda disambut oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM Prof Dr Mohd Azraai Kassim.

SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berbuka puasa bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan menyampaikan bantuan zakat kepada 39 pelajar asnaf.

Baginda tiba di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM di sini pada kira-kira 6.40 petang dan disambut oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM Prof Dr Mohd Azraai Kassim.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan bantuan wang zakat dari pusat zakat universiti berkenaan bernilai RM19,900 kepada 14 asnaf fakir, 13 asnaf miskin, sembilan asnaf fisabilillah dan tiga asnaf mualaf yang melanjutkan pelajaran di UiTM.

Mereka menerima bantuan berjumlah antara RM800 hingga ke RM1,200 bagi yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda dan RM600 hingga ke RM800 bagi yang melanjutkan pelajaran peringkat diploma.

Selain berbuka puasa bersama warga UiTM, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengerjakan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid itu.- BERNAMA

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/selangor/sultan-selangor-berkenan-berbuka-puasa-bersama-warga-uitm-1.902456

0
0