“Sukan Warisan” Mewarnai Karnival Merdeka Kampus Raub

10 September 2024 – Telah berlangsung dengan meriahnya program Sukan Warisan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub. Program yang dianjurkan oleh Kelab Apresiasi Pensyarah (KAP) Kampus Raub adalah rentetan program utama Karnival Malaysia Pertiwiku: Sehati Sejiwa 2024 yang dianjurkan oleh pihak pengurusan kampus bagi meraikan Bulan Kemerdekaan 2024.

KAP dilihat berjaya menjalankan program ini apabila mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dilaporkan seramai 60 orang peserta mengambil bahagian daripada seluruh sukan yang dipertandingkan. Manakala peserta pula terdiri daripada pensyarah-pensyarah dan juga kakitangan pengurusan yang lain.

Semua aktiviti berlangsung selama 3 jam bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 12 tengah hari di Dewan Titiwangsa. Sukan warisan yang dipertandingkan ialah permainan congkak, batu seremban dan juga sepak raga tuju. Permainan ini telah menggamit kenangan ramai dalam kalangan peserta. Manakala, hadiah bagi pasukan yang menang akan diberikan pada 13 September 2024 sempena penutup Karnival Malaysia Pertiwiku: Sehati Sejiwa 2024.

Program yang julung kali ini telah mengeratkan hubungan silaturahim antara pensyarah-pensyarah dan juga kakitangan lain. Program ini juga telah mengembalikan nostalgia lama yang pernah dilalui oleh datuk nenek moyang terdahulu. Ia merupakan permainan tradisi masyarakat peribumi Melayu yang sangat berfaedah dan memiliki falsafahnya yang tersendiri. Dengan penganjuran ini, diharap agar dapat menarik minat golongan muda untuk turut serta mengalami sendiri pengalaman indah permainan ini.

Melalui tinjauan ringkas yang dilakukan oleh pihak penganjur mendapati bahawa hampir semua peserta yang terlibat meluahkan rasa teruja dengan setiap aktiviti yang disertai. Peserta meluahkan rasa gembira dan mengharapkan agar permainan warisan ini diteruskan pada waktu-waktu yang lain. Hal ini dapat meningkatkan lagi tahap keceriaan kakitangan ke arah mencapai “Happyness Index” yang terbaik di kampus Raub.

 

Mohd Nasir Ayub, Surita Hartini Mat Hasan, Mohamad Sahizam Musa