Subuh Macam Jumaat di UCS Sempena Islamic Unity Week

Puncak Alam, 30 Jun 2024 – Islamic Unity Week: Subuh Macam Jumaat telah berjaya diadakan buat julung kalinya di UiTM Cawangan Selangor anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Persatuan Rakan Masjid. Islamic Unity Week ini merupakan inisiatif program yang merangkumi aspek kerohanian, sukan, dan kerjasama antara komuniti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Qiamulail, Kuliah Subuh Perdana dan Subuh Fun Walk sekitar kawasan kolej Casuarina dan Angsana.

Seramai hampir 600 orang pelajar UiTM Cawangan Selangor termasuk Kampus Puncak Perdana dan Sungai Buloh telah hadir bagi memeriahkan lagi program ini dan telah memenuhi ruang legar Surau Ibnu Sina seawal 4.00 pagi bagi meraikan program Subuh Macam Jumaat ini. Turut memenuhi jemputan, Timbalan rektor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr. Badrul Bin Isa, mewakili Rektor UiTM Cawangan Selangor.

Objektif utama program ini diadakan adalah bagi memupuk semangat dalam diri setiap warga UCS supaya bersama-sama menghidupkan suasana surau mahupun masjid khususnya pada waktu Subuh dengan pengisian kuliah Subuh yang juga merupakan makanan rohani bagi umat Islam. Selain itu, aktiviti riadah yang dijalankan dapat membentuk gaya hidup sihat dikalangan staf dan pelajar UCS. Program ini dilihat sebagai satu inisiatif pencetus bagi aktiviti dan program susulan berkonsepkan keagamaan yang akan dirancang pada masa hadapan dan dapat diteruskan lagi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak.