SHAH ALAM, 6 JANUARI 2024 – Prologue Agency yang dikelolai oleh pelajar tahun akhir jurusan Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM telah menganjurkan Festival Rythmba di Amphitheater UiTM Shah Alam. Festival ini telah dirasmikan oleh Y.B. Puan Jamaliah Jamaluddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor. Objektif utama Festival Rythmba ini dianjurkan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warga UiTM dan komuniti setempat tentang kepentingan penanaman pokok berdasarkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-15 iaitu Hidupan Teratasi di Darat. SDG 15 bertujuan untuk memelihara, mengembangkan, dan menggalakkan penggunaan secara lestari daratan, mengurangkan degradasi tanah, dan menghentikan kehilangan kepelbagaian biologi.
Matlamat ini dilaksanakan dengan penanaman 300 buah pokok yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok. Dalam pada itu, tujuan utama penganjuran festival ini juga tercapai apabila pasukan Prologue Agency berjaya menjadikan Amphitheater sebagai “Taman Mesra Alam” pertama dan menjadi lokasi tarikan utama UiTM Shah Alam. Hal ini demikian kerana Amphitheater telah dinaik taraf oleh Bahagian Infrastruktur UiTM demi memastikan penganjuran festival ini berjalan dengan lancar.
Sebagai penyeri festival, Prologue Agency telah menjemput 22 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah. Banyak aktiviti dan pengisian menarik yang dilakukan bersama-sama mereka seperti menanam pokok dan aktiviti-aktiviti lain. Inisiatif seperti ini secara tidak langsung mampu memperkukuh ikatan komuniti, memastikan setiap orang, tanpa mengira latar belakang atau kaum, dapat bersama-sama menyambut festival ini.
Pengisian daripada aspek kesenian muzik telah menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Teman Lelaki, Mohsein Kush, Raja Nazrin Shah dan Fimie Don yang sedang bergiat aktif dalam industri muzik tanah air. Selain itu, aktiviti keusahawanan juga giat dilaksanakan apabila lebih daripada 15 vendor telah mengambil bahagian dalam festival ini antaranya Homes Kitchen, Vanilicious, Kora-Kora Matcha dan banyak lagi. Dalam menguji daya ketahanan dan ketangkasan warga UiTM dan komuniti setempat, Prologue Agency juga menyediakan aktiviti lasak seperti seperti wall climbing dan flying fox.
Projek ini disokong oleh rakan kongsi utama Prologue Agency, Tuan Khew Check Kiet, pengarah eksekutif Gadang Holdings. Prologue Agency dapat melaksanakan festival ini,dengan hasil kerjasama daripada Gadang Holdings dan sekaligus membantu untuk merealisasikan objektif utama bagi Festival Rhythmba. Saudari Aisy Mia Faydh (Pengarah Projek) dan Encik Abuzar Abdul Halim (Penasihat Projek) menjadi tunjang utama kejayaan festival ini terlaksana. Dengan ilmu pengetahuan yang dipelajari daripada subjek PRO602, Consultancy in Public Relations, ahli Prologue Agency memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan festival ini bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Prologue Agency berjaya menarik orang ramai untuk bersama- sama memeriahkan festival ini demi melestarikan alam sekitar.