Stretch & Relax While WFH: Bersama Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi, Uitm Cawangan Pahang

Mengikut kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mana ianya meliputi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Bagi menyahut saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 3: “Memastikan kehidupan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan pada semua peringkat usia” Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Webinar pada 10 Jun 2021 (Khamis), jam 3 sehingga 4 petang, yang bertajuk “Stretch and relax while working from home (WFH)” menggunakan medium dalam talian maya Cisco Webex.

Webinar ini berorientasikan sesi teori dan praktikal yang bertujuan untuk memnberi kefahaman yang lebih mendalam serta memudahkan peserta mengikuti kaedah regangan badan yang boleh diamalkan ketika berkerja di rumah atau pun di pejabat. Bagi merealisasikan webinar tersebut, pihak Fakulti telah menjemput Puan Farhana Abdul Wahab sebagai panel jemputan yang mempunyai pengalaman luas selaku jurulatih kecergasan dan juga jurulatih yoga. Sepanjang webinar berlangsung, sesi ini mendapat tumpuan ramai yang telah disertai seramai 215 orang peserta yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan staf, pensyarah UiTM, kalangan mahasiswa/i dan orang awam.

Semasa sesi webinar berlangsung, panel dan moderator turut berkongsi kepentingan melakukan aktiviti regangan secara konsisten semasa berkerja di rumah atau pejabat. Hal ini dapat mengelak masalah kesihatan terutamanya berkaitan sakit otot yang boleh menyukarkan pergerakan dan menganggu urusan kerja. Selain itu, moderator turut menyatakan fakta dari satu dapatan kajian saintifik tentang aktiviti regangan ini dapat meningkat peredaran darah serta produktiviti seseorang itu terutamanya apabila mereka bekerja di rumah. Aktiviti regangan merangkumi regangan keseluruhan tubuh badan dan ia dilakukan secara berperingkat di mana ianya bermula di bahagian kepala dan di akhiri di bahagian kaki.

Selesai sesi praktikal, aktiviti webinar diteruskan dengan sesi soal jawab, melalui sesi ini banyak persoalan yang diberikan oleh para peserta dan dapat dirungkaikan secara terperinci oleh panel jemputan dan moderator. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan ilmu serta membuka minda para peserta untuk mula mengamalkan aktiviti regangan ketika bekerja mahu pun bersukan. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Akhir kata, Jawatankuasa Pelaksanaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Puan Farhana Abdul Wahab dan para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.