Kuching, Sarawak – STEAM Kids Carnival, program komuniti yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama The Spring Mall Kuching, berjaya mencetuskan kegembiraan dan semangat pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti tempatan. Acara yang diadakan dari 18 hingga 21 September 2024 bertempat di Aras 2, The Spring, Kuching, disertai oleh lebih daripada 300 pengunjung termasuk lebih 100 pengunjung cilik sepanjang tempoh empat hari. Karnival ini menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) dengan pendekatan interaktif dan menyeronokkan, menjadikan ia platform yang ideal untuk mengembangkan kreativiti dan minat terhadap bidang STEAM dalam kalangan peserta muda.
Antara acara utama karnival ini ialah Pertandingan Mewarna Little Scientist dan Pertandingan Spelling Bee melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran secara langsung yang menggalakkan mereka berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan menzahirkan bakat seni mereka. Pertandingan Paws & boxes: DIY Cat House Contest juga turut disertai 10 kumpulan peserta yang menggalakkan mereka menggunakan semula bahan harian untuk memupuk kreativiti, inovatif dan kesedaran terhadap alam sekitar.
Pada 19 September 2024, Yang Berusaha Profesor Madya Ir. Dr. Juferi Idris, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri) UiTM Cawangan Sarawak dan diiringi Ketua Pusat Pengajian Seni Reka, Seni Lukis, Senibina, Perancangan dan Ukur (SSSPU), Sr. Dr. Asmah Alia, turut hadir mengunjungi karnival ini. Beliau meluangkan masa berjalan di setiap gerai dan berinteraksi dengan peserta serta pempamer, menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap usaha mempromosikan pendidikan STEAM. Beliau telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Spelling Bee yang telah berlangsung dengan meriah.
Selain itu, ceramah kesedaran kelestarian yang menampilkan 2 orang pensyarah UiTM Cawangan Sarawak iaitu Encik Mohd Razif Mohd Rathi and Encik Mohd Iqbal bin Hashim, masing-masing berkongsi ceramah yang bertajuk ”Aftermath Thinkers” dan ”Penanaman Skala Mikro di Rumah”. Ceramah tersebut berjaya menarik minat golongan dewasa dan pelajar, memberi inspirasi kepada para hadirin untuk mempertimbangkan peranan penting STEAM dalam masa depan yang lebih lestari.
Tambahan lagi, pameran STEAM berjaya menarik perhatian dengan pelbagai eksperimen interaktif, projek sains, dan demonstrasi teknologi yang mengasyikkan. Beberapa demonstrasi STEAM juga ditunjukkan seperti pembuatan tanah liat dan manik dari bahan kitar semula, mewarna batik, demonstrasi melukis dari perspektif seni dan sains, persembahan robot dan pembuatan virtual 3D dan sebagainya, telah memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga untuk mempelajari pelbagai konsep STEAM secara langsung dan menyeronokkan.
Kejayaan karnival ini merupakan satu pencapaian penting dalam mempromosikan pendidikan STEAM dalam kalangan komuniti. UiTM Cawangan Sarawak berharap untuk meneruskan kerjasama dengan The Spring Mall dan rakan kolaborasi pada masa akan datang. Ucapan terima kasih khas juga ditujukan kepada Ta Kiong (Lotus Quantum Sdn Bhd), JJ Pet Group Sdn Bhd, dan BurandoMarkt ART & Stationery atas sumbangan penajaan mereka. Sokongan mereka yang murah hati membekalkan hadiah, bahan, dan sumber yang menjadikan pertandingan dan aktiviti lebih menarik serta bermakna bagi para peserta.
UiTM Cawangan Sarawak berbangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan komited untuk terus menganjurkan program-program yang memberi impak positif kepada pembangunan generasi akan datang. Kejayaan karnival ini membuktikan bahawa pendidikan berasaskan STEAM boleh menjadi menarik, kreatif, dan menyeronokkan untuk kanak-kanak dari semua latar belakang. UiTM Cawangan Sarawak komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta memupuk semangat inovasi dan kreativiti. Melalui pelbagai program kemasyarakatan, UiTM terus berusaha menginspirasi generasi pelajar dan pemimpin masa depan di Malaysia.