STAR, program komuniti anjuran persatuan pelajar UiTM Cawangan Pahang di SeMShah, Muadzam Shah, Pahang

Bermula 6 hingga 8 Januari 2023, tiga persatuan pelajar dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka iaitu Organization of Biology Progeny (OBEY), Change Agent Club (CAC) dan Students’ Indigenous Club (SIC), telah mengadakan program Striving To Aim for Radiance (STAR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah (SeMShah), Muadzam Shah, Pahang. Program ini diketuai oleh Cik Irdina Zahra binti Mohd Zamre dari OBEY dan diiringi oleh Cik Nur Thabitah binti Shaikh Nasir, Penasihat Program dari persatuan yang sama.

Program komuniti bersifat motivasi dan bimbingan pelajar ini telah disertai oleh pelajar Tingkatan 2 hingga 4 yang terdiri daripada pelajar berbangsa Melayu, Orang Asli dan India. Objektif program ini adalah untuk mengasah pelbagai kemahiran insaniah serta menerapkan nilai-nilai etika dan profesionalisme di dalam diri murid-murid sekolah dan para pelajar UiTM yang terlibat.

Sejurus sesi ‘Ice Breaking’ bersama murid-murid dan fasilitator yang terdiri daripada pelajar UiTM, murid-murid diperkenalkan dengan aktiviti ‘Crime Scene’ dimana setiap fasilitator membawa watak-watak tersendiri dan murid-murid perlu berfikir secara kritikal siapakah diantara fasilitator-fasilitator yang ‘bersalah’ melakukan ‘jenayah’ berpandukan kepada petunjuk (clue) yang diberikan oleh para fasilitator. Aktiviti ini mengasah ketajaman pemikiran murid-murid serta mendorong kerja berpasukan di antara mereka.

Aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang seperti ‘Explorace’ dan ‘Constellation’ telah diperkenalkan untuk menggalakkan kerjasama dan meningkatkan kemahiran komunikasi diantara murid-murid, serta menguatkan adab, akhlak dan kemahiran insaniah mereka supaya menjadi seseorang yang dihormati apabila mereka menempuh alam pekerjaan pada masa akan datang. Murid-murid juga didedahkan dengan aktiviti menyelesaikan masalah dari pelbagai perspektif dan pandangan serta aktiviti yang meningkatkan kreativiti minda dalam LDK ‘Problem Solving’ dan ‘Highland Tower’. Aktiviti senaman juga telah dilakukan pada waktu pagi untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat kerana badan yang sihat merangsang kesihatan dan kecergasan minda. Malam kebudayaan turut diadakan untuk meningkatkan keyakinan diri murid-murid serta mempersembahkan bakat mereka melalui nyanyian dan tarian.

Pada hari terakhir program STAR, sesi perkongsian berkenaan pengalaman fasilitator sebelum dan semasa menjejaki alam pengajian di universiti telah diadakan. Hadiah dan cenderahati turut disampaikan kepada semua kumpulan murid-murid yang terlibat. Program berakhir dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh En. Mohd Rizal bin Atan, Pengetua SeMShah dan diiringi oleh En. Rozali bin Yusof (GPK HEM), En. Azri bin Abdullah (Ketua Warden) dan dua orang guru bimbingan dan kaunseling, En. Mohd Zahari bin Khalib dan Pn. Suhana binti Ismail. Adalah diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, in sya Allah.

Laporan oleh Cik Nur Thabitah binti Shaikh Nasir, pensyarah Unit Biologi dan Penasihat 2 persatuan OBEY.