‘Stairway to Business’

Nursing Students Association, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menjayakan satu program keusahawanan, di mana program ini penting bagi memberi pengetahuan asas mengenai ilmu keusahawanan kepada mahasiswa. Program ini akan memberikan gambaran yang positif kepada pelajar-pelajar FSK mengenai bidang keusahawanan yang mampu dijadikan sebagai sumber kewangan mereka setelah bergraduasi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan sekaligus mempunyai pendapatan sampingan untuk kepentingan masa hadapan. Seramai 79 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan daripada setiap persatuan telah terlibat dengan program ini. Program ini dipimpin oleh Cik Rosuzeita Binti Fauzi yang merupakan penasihat program tersebut.

Dalam pengisian program Stairway to Business ini, sebuah forum secara atas talian telah dijalankan selama 2 jam. Forum ini telah dikendalikan oleh 2 orang panel dan 1 orang moderator. Pengisian forum ini diteruskan dengan persoalan yang dikemukakan oleh moderator berkaitan dengan pengetahuan asas yang diperlukan dalam memulakan sesuatu perniagaan kepada panel pertama iaitu Encik Muhamad Raffiq Bin Abdul Razak, pengarah dan pengasas Pudore & Perfumevalley Group Setia Alam dan merupakan ahli perniagaan sepenuh masa sejak tahun 2014. Selain itu Encik Raffiq juga telah menjawab persoalan tentang bagaimana hendak mengekalkan momentum sepanjang menjalankan perniagaan. Seterusnya beliau juga telah berkongsi pendapat tentang cara-cara untuk menguruskan modal dan keuntungan sesuatu perniagaan.

 

Pengisian program ini diteruskan lagi dengan ahli panel yang kedua iaitu Puan Siti Fatimah Binti Ishak. Beliau merupakan pembantu perubatan di Akademi Maritim Malaysia dan turut terlibat aktif dalam perniagaan secara separuh masa sebagai konsultan kecantikan Mary Kay sejak tahun 2010. Perkongsian beliau dalam forum ini menjawab persoalan mahasiswa tentang cara-cara untuk menguruskan masa di antara pelajaran dan perniagaan dengan baik dan berkesan. Selain itu beliau juga berkesempatan untuk berkongsi tips-tips berkaitan cara untuk meningkatkan keyakinan diri dalam menceburi bidang perniagaan. Seterusnya, Puan Fatimah juga turut memberikan beberapa nasihat yang berguna kepada mahasiswa yang tidak mendapat sokongan moral daripada ahli keluarga dalam meneruskan perniagaan.

Melalui program Stairway to Business ini juga, para mahasiswa telah mendapat banyak maklumat baru dan berguna untuk dipraktikkan di dalam persatuan masing-masing dan menambahbaik keusahawanan organisasi mereka. Ianya akan membantu mereka membina organisasi yang lebih baik dari sebelumnya.

Dengan adanya program seperti ini, terbukti bahawa fakulti kita memerlukan lebih kerap program seperti ini untuk menaikkan nama setiap persatuan dan mengasah potensi dalam diri mereka dari segi keusahawanan.