Staf UiTM Mendalami Ilmu berkenaan Protokol Istana

Staf UiTM Mendalami Ilmu berkenaan Protokol Istana
Penceramah jemputan, Tuan Sophian Ab Rahman, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara (tengah)

Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah menganjurkan Kursus Istiadat Istana dan Etiket Sosial Diraja Siri 2 yang diadakan pada 14 Disember 2019 bertempat di Hotel UiTM Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada Staf UiTM Shah Alam dan UiTM Kampus Cawangan telah dijemput hadir.

Pada pagi tersebut sebelum majlis bermula peserta dikehendaki untuk mendaftaran diri untuk mencatat jumlah kehadiran peserta yang hadir pada kursus tersebut. Selesai sesi pendaftaran, perserta akan terus masuk ke dalam Bilik Seminar Cempaka Sari, Hotel UiTM Shah Alam.

Ketibaan penceramah jemputan, Tuan Sophian Ab Rahman, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara ke dalam bilik seminar di iringi oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Encik Wan Rahiman Wan Abd Rahim, Penolong Pendaftar Kursi Institusi Raja-Raja Melayu. Diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM. Setelah itu, bacaan doa oleh En Mohd Azhar Abd Rahman.

Sesi diteruskan dengan kata alu-aluan daripada Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Penyandang KIRRM. Setelah ucapan oleh Penyandang KIRRM, bermula Slot 1 yang disampaikan oleh Tuan Sophian Ab Rahman. Slot yang disampaikan oleh Tuan Sophian terbahagi kepada 4 Slot, iaitu Slot 1: Protokol Raja-Raja, Slot 2: Protokol Pengurusan Majlis, Slot 3: Etiket Sosial dan Penampilan Diri dan Slot 4: Etika Meja Makan.

Staf UiTM Mendalami Ilmu berkenaan Protokol Istana

Setiap slot mengandungi perisian yang berbeza. Slot 1 Protokol Raja-Raja dipecahkan kepada empat bahagian iaitu, giliran YDPA, panggilan hormat kerabat, menjunjung duli dan bahasa istana. Slot 2 Protokol Pengurusan Majlis pula dipecahkan kepada enam bahagian iaitu, Kad jemputan, pengesahan kehadian / pendaftaran, susunan meja jamuan, susunan vip, panggilan hormat dan susunan Keutamaan Persekutuan.

Seterusnya, Slot 3 Etiket Sosial dan Penampilan Diri, dipecahkan kepada enam bahagian iaitu, etika pakaian, penampilan diri, perhiasan atau aksesori, penetapan tema, cara memperkenalkan diri dan cara fotografi. Slot yang terakhir adalah Slot 4 Etika Meja Makan dipecahkan kepada tiga bahagian, pertama,susunan peralatan meja makan, kedua simulasi meja makan dan ketiga ‘Bahasa’ dimeja makan. Keempat-empat slot tersebut sangat berkait dalam mengadakan majlis melibatkan kerabat diraja dan majlis formal.

Terdapat empat objektif kursus ini, Antaranya adalah untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman tentang teori dan amalan protokol istiadat istana serta kemahiran sosial diraja dalam urusan pengendalian majlis rasmi di Malaysia. Memberi panduan dan bimbingan tentang kaedah dan hala cara pengurusan pelbagai majlis berasaskan konsep dan amalan protokol sejagat.

Menerapkan nilai-nilai kemahiran sosial supaya dapat meningkatkan lagi kemahiran diri apabila terlibat dalam pengendalian majlis yang pelbagai bentuk. Terakhir sekali, mengetahui tugas dan tanggungjawab urus setia iaitu pegawai protokol dan penyambut tetamu dalam mengendalikan majlis rasmi.

Penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan tentang protokol istiadat istana dan etiket sosial diraja mengikut protokol yang betul dan kemahiran yang boleh dipelajari. Hal ini demikian kerana protokol harus dimiliki oleh pihak pengurusan dan pentadbir sesebuah organisasi di universiti. Ilmu berkaitan protokol istiadat istana dan etiket sosial diraja adalah sangat penting kepada setiap staf. Setiap majlis mempunyai protokol dan etiket sosialnya, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang ini bukan sahaja melibatkan profesionalisme pengurusan berkenaan tetapi juga menjejaskan imej organisasi secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, Kursus Protokol Istiadat Istana dan Etiket Sosial Diraja yang dilaksanakan ini telah berjaya mendapat maklum balas positif daripada para staf yang hadir dan pengisian program ini diharapkan sedikit sebanyak mampu memberikan input yang berguna akan kepentingan protokol kepada staf yang terlibat dalam melaksanakan satu-satu program rasmi.

0
0