Staf UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Rangkul Gangsa Dalam VI-BiiDE2022

TAWAU, 25 MEI 2022: Tahniah dan syabas diucapkan kepada staf Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau kerana telah berjaya memenangi pingat Gangsa dalam pertandingan The Fourth Virtual International Breakthrough Invention, Innovation and Design Exhibition 2022 (VI-BiiDE2022) bagi Kategori A, Sains dan Teknologi.

Pertandingan VI-BiiDE2022 yang bertemakan Embracing Digital Revolution in The New Normal dianjurkan oleh UiTM Cawangan Pahang bermula pada 22 Mac hingga 25 Mei 2022. Pertandingan ini terbuka kepada tiga kategori iaitu Kategori A, Professional (Lecturers, Teachers, Researchers and Industries), Kategori B, Tertiary (Universities, Polytechnics, Colleges and Matriculations Students) dan Kategori C, School (Primary, Secondary School Students). Skop projek inovasi pertandingan terbahagi kepada dua iaitu Science and Technology dan Social Science. Antara objektif penganjuran VI-BiiDE2022 adalah bagi mewujudkan platform kepada ahli akademik, profesional, pemain industri, pelajar universiti serta pelajar sekolah menengah dan rendah untuk mempamerkan atau mengkomersialkan produk dan idea mereka. Majlis penutupan dan pengumuman pemenang pertandingan telah diadakan secara maya melalui platform Webex pada 25 Mei 2022 yang lalu.

Penyertaan staf UiTMCSH Kampus Tawau dalam pertandingan VI-BiiDE2022 telah diketuai oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Encik Jemat Julaihi@ Basri, Encik Muhammad Khuzaimy Yalah dan Encik Kevin Alvin Eswar dengan projek inovasi yang bertajuk Chromato-Deco: From Lab To Crafts Work. Projek inovasi ini merupakan penghasilan produk barangan dekorasi atau hasil kraf yang menggunakan imej kromatogram yang dihasilkan melalui teknik kromatografi kertas turas. Produk yang dihasilkan ialah hiasan gantung, hiasan dinding, penanda buku, bekas alat tulis dan bingkai bergambar.

“Produk yang dihasilkan ini mampu menarik minat penggemar hasil kraf, secara tidak langsung boleh meningkatkan kesedaran orang awam terhadap nilai-nilai estetik imej kromatogram, seterusnya boleh dijadikan sumber pendapatan”, kata Muhammad Khuzaimy Yalah, salah seorang ahli kumpulan.

Sementara itu, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, selaku ketua kumpulan berkata, dengan pingat Gangsa yang dimenangi tersebut akan menjadi motivasi kepada semua ahli untuk terlibat dalam pertandingan inovasi lain pada masa hadapan.

“Penghasilan imej dari teknik kromatografi ini memerlukan kerja penelitian yang sedikit rumit terutama di bahagian kombinasi warna sebelum produk akhir dapat dihasilkan”, tambahnya lagi.

Sebagai rekod, setakat pertengahan tahun 2022, pencapaian ini merupakan kali kedua telah diperoleh oleh warga UiTMCSH Kampus Tawau dalam pertandingan inovasi. Sebelum ini, tiga pasukan pelajar Program Pra Pengajian Tinggi telah berjaya merangkul tiga pingat Perak dalam pertandingan PPT UiTM National Virtual Innovation Competition (PPTNVIC 2022) anjuran Pejabat Program Pra Pengajian Tinggi UiTM.