15 OGOS 2024 – Skuad 6 Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UiTM Cawangan Pahang telah selamat ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan di dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) UiTM Se-Malaysia Kali Ke-9 Tahun 2024 yang bertempah di UiTM Shah Alam. Seramai 36 orang pelajar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dari pelbagai program yang mewakili skuad 6 menghadiri latihan ini bermula dari 4 Ogos 2024 sehinggalah ke tarikh pentauliahan iaitu pada 15 Ogos 2024.
Majlis berprestij ini julung-julung kalinya telah dihadiri dan dirasmikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin bin Husain. UiTM sangat berbangga dengan kehadiran Tan Sri yang turut menyampaikan sijil pelantikan tersebut kepada 252 pelajar UiTM yang bergelar Inspektor Sukarelawan SUKSIS.
Modul latihan selama 3 tahun yang dibentuk khas untuk pelajar-pelajar yang menyertai Kor-SUKSIS ini memberi penekanan kefahaman terhadap kerjaya kepolisan di kalangan pelajar di samping melengkapkan diri daripada segi ketahanan mental, fizikal dan disiplin diri.
UiTM Cawangan Pahang turut berbangga apabila 3 pelajar telah menerima anugerah pelatih terbaik yang siampaikan oleh Tan Sri KPN. Insp/KS Tuan Amin Farhan bin Tuan Deris daripada Diploma Perkayuan telah dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan. Insp/KS Nur Amira binti Muhammad Kamal daripada Diploma Perkayuan dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Akademik. Manakala Insp/KS Anas Ahzha bin Azhar daripada Diploma Perkayuan telah dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Turut hadir memeriahkan majlis istiadat ini adalah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang, Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Pegawai Kehormat Latihan Luar, ASP/KS Mat Zaid bin Yazid dan Pegawai Kehormat Latihan Akademik, ASP/KS Mohd.Ikhsan bin Md.Raus.
Semoga pelatih-pelatih ini mempunyai semangat jati diri dan disiplin yang tinggi, intelektual dan berkarisma dalam kepimpinan, di samping mempunyai semangat setia kawan di kalangan mahasiswa yang berbilang kaum dan agama.