Sistem SportCoaching @ IOD mampu menilai keupayaan sebenar atlet

Dr Mazlan (kanan) melakukan penilaian terhadap atlet di bawah kendaliannya.

Prestasi setiap individu termasuk atlet sukan adalah berbeza, sama ada ketika sesi latihan mahupun semasa pertandingan.

Menurut Prof Madya Dr Mazlan Ismail daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Negeri Sembilan, perbezaan itu bergantung kepada keupayaan setiap individu.

Ekoran perbezaan itu, tidak dinafikan ada jurulatih terlepas pandang untuk menilai prestasi atlet secara individu semasa sesi latihan.

Bagi memastikan objektif latihan tercapai dan mampu diterjemahkan pada aksi kejohanan, Mazlan mencipta satu sistem bagi memudahkan jurulatih memantau prestasi atlet secara lebih dekat.

Idea menghasilkan sistem ini tercetus melalui pengalamannya sendiri ketika mengendalikan atlet dan pelajar dalam kursus kejurulatihannya.

Dr Mazlan Ismail

“SportCoaching @ IOD ialah sistem atas talian yang direka untuk membantu jurulatih mengenal pasti tahap keupayaan individu yang sebenarnya,” katanya.

Tambahnya, dalam bidang kejurulatihan terdapat empat komponen yang perlu diambil kira iaitu volume, intensiti, keamatan dan tahap kesukaran.

“Keempat-empat faktor ini mempengaruhi permintaan keseluruhan yang perlu dihadapi atlet dalam latihan mereka. Walaupun keempat-empat elemen ini saling melengkapi, namun penekanan lebih tinggi pada satu-satu faktor boleh menyebabkan peningkatan permintaan pemain, jika faktor lain tidak disesuaikan,” katanya.

Sebagai contoh, jika jurulatih berhasrat mengekalkan prestasi sama ketika dalam latihan dan kejohanan, maka keperluan sukan itu memerlukan tahap ketahanan intensiti tinggi dan jumlah latihan perlu dipertingkatkan.

“Ini bermakna apabila berlaku pertambahan volume, maka jurulatih harus mempertimbangkan bagaimana peningkatan ini akan memberi kesan kepada keamatan latihan dan bagaimana intensiti latihan perlu dikurangkan,” katanya.

Keunikan

Sistem SportCoaching @ IOD mempunyai keunikan terutama dalam perancangan dan arahan program latihan. Sistem atas talian itu menggabungkan keempat-empat faktor itu (volume, intensiti, keamatan, tahap kesukaran) dalam setiap pelan latihan tahunan sekali gus meningkatkan keupayaan atlet untuk mencapai objektif ditetapkan.

“Jumlah kerja dihadapi dalam latihan adalah pembolehubah utama dalam kejayaan pelan latihan. Ia merangkumi latihan fizikal, teknikal, dan taktikal yang penting bagi merangsang penyesuaian fisiologi dan berfungsi sebagai asas untuk meningkatkan prestasi sukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, penerapan beban kerja harus dipersonifikasikan kerana setiap atlet mempunyai toleransi terhadap volume, keamatan, dan kepadatan latihan.

“Sistem atas talian ini akan membantu jurulatih untuk membezakan skop, objektif dan sistem latihan prestasi sukan,” katanya.

Sistem ini boleh digunakan secara praktikal dalam semua persatuan sukan di Malaysia dan di luar negara.

Prinsip asas

Selain membantu jurulatih capai objektif latihannya, sistem itu juga menolong menterjemahkan prinsip asas program melalui pelbagai kaedah latihan dan bimbingan.

“Ia juga membantu merancang latihan lebih berkesan menggunakan konsep pendekatan periodisasi dan juga sebagai cadangan taksiran prestasi sukan yang sistematik untuk mendapatkan maklumat objektif mengenai atlet itu sendiri,” katanya.

Mazlan membangunkan sistem itu antara lain untuk melonjakkan proses pembinaan pendidikan yang dapat mewujudkan impak lebih besar.

Selain itu, sistem itu juga tiada lagi ketidakseimbangan jumlah latihan di antara atlet sama ada sukan secara berkumpulan mahupun individu.

“Malah permasalahan kenapa seseorang atlet tidak dapat mempamerkan prestasi baik ketika pertandingan dikenal pasti melalui sistem ini. Sistem ini juga mudah digunakan, selain menjadi alat menyimpan maklumat atlet bagi menyenangkan jurulatih memahami keadaan individu itu sendiri,” katanya.

Sistem mudahkan jurulatih

Dari segi pengkomersialan, SportCoaching @ IOD menawarkan sistem yang ditetapkan untuk jurulatih sukan. Sistem ini boleh digunakan secara praktikal dalam semua persatuan sukan di Malaysia dan di luar negara. Justeru, ia merupakan alat alternatif untuk jurulatih gunakan semasa fasa latihan.

“Sistem ini dibangunkan bagi memudahkan dan tidak mengamalkan sikap berat sebelah kerana setiap atlet (individu) perlu dilatih berdasarkan permintaan secara menyeluruh, dan atlet perlu menyelesaikan latihan secara individu.

“Akhir sekali, dengan menggunakan sistem ini seseorang jurulatih mampu selesaikan masalah yang dibangkitkan oleh atlet. Sistem ini amat sesuai untuk semua jenis sukan sama ada di Malaysia mahupun luar negara.

“Saya mengalu-alukan persatuan sukan yang berminat untuk mengadakan bengkel pengoperasian sistem ini secara lebih dekat. Saya juga berharap sistem ini mampu membantu keperluan atlet negara dan diguna pakai oleh Institut Sukan Negara (ISN),” katanya.

Oleh: Siti Zubaidah Mat Isa
Sumber: https://kampusuols.com/article/428339/U-Inovasi/Sistem-SportCoaching-@-IOD-mampu-menilai-keupayaan-sebenar-atlet

0
0