Sinergi UiTM Cawangan Pahang dengan Industri Setempat: Faedah kepada Komuniti

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri dalam memantapkan keunggulan dan keupayaan sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang berinovatif, relevan dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Kewujudan UiTM Cawangan Pahang di Bandar Pusat Jengka berupaya membuka peluang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak seperti industri dan komuniti bagi sebarang pemindahan kepakaran dan teknologi untuk digunapakai dan dimanfaatkan bersama.

UiTM Cawangan Pahang dan Sharali Holdings Sdn. Bhd. telah bekerjasama secara lansung bermula sejak tahun 2020 dengan projek perundingan yang dilaksanakan tanpa biaya. Sharali Holdings Sdn. Bhd. merupakan industri tempatan yang bertapak di Wilayah Jengka Pahang yang menjalankan aktiviti perniagaan mini zoo yang dikenali dengan nama “Rabbit Land Jengka” dan taman tema air yang dikenali dengan nama “Jengka Wonderland”. UiTM Cawangan Pahang melihat pihak Sharali Holdings Sdn Bhd mempunyai potensi yang sangat besar dalam memperluaskan lagi Industri Perlancongan Desa yang telah diperkenalkan dengan meningkatkan beberapa usaha dalam bidang-bidang yang tertentu. Pada Mac 2021 pihak Sharali Holdings Sdn Bhd telah menawarkan geran penyelidikan industri dan projek perundingan kepada UiTM Cawangan Pahang berjumlah RM13,500.

Pelbagai projek sedang dan bakal dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik yang merupakan pensyarah UiTM Cawangan Pahang merangkumi projek-projek seperti penilaian potensi tanaman herba dan pokok ubatan, keberkesanan teknik penananaman rumput Napier, penilaian kualiti air, kajian impak terhadap pemasaran sosial media terhadap prestasi industri pelancongan desa dan lain-lain.

Sinergi ini bermatlamat untuk membantu dan menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti setempat dengan menghubungkait teori dan praktikal sekaligus meningkatkan sosio-ekonomi komuniti. Melalui pelaksanaan projek ini banyak faedah yang bakal diperolehi oleh industri setempat ini dimana universiti membuka peluang kepada komuniti dengan berlakunya pemindahan kepakaran dan teknologi bagi meningkatkan pengetahuan dalam penghasilan produk, proses serta servis yang lebih teratur, peningkatan jumlah pemasaran dan manfaat untuk jangka masa panjang.

Melalui pendekatan ini jelas menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan rakan industri setempat khususnya komuniti di sekitar Jengka agar dapat mencapai matlamat universiti dalam mensejahterakan masyarakat dan melahirkan masyarakat yang lebih proaktif dan berdaya saing.

UiTM akan turut memperoleh pelbagai manfaat dari kerjasama ini dan menghasilkan pelbagai projek berimpak tinggi serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang berasaskan Teras SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi dan SDG 15: Kehidupan di Darat.