Sinergi Sukan FKPM-ACIS

ALOR GAJAH, 14 OGOS 2024 – Satu Perlawanan Persahabatan di antara pasukan staf akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka telah diadakan baru-baru ini. Permainan bola tampar dipilih sebagai permainan bagi perlawanan persahabatan yang diadakan di antara kedua-dua buah fakulti ini.

Pada edisi sebelumnya, perlawanan seperti ini pernah diadakan di antara kedua-dua buah fakulti sebagai latihan sebelum pemilihan wakil staf di peringkat universiti bagi Program Sukan Staf UiTM iaitu Karnival Sukan Staf (KARiSTA). Malah, golongan pelajar turut diberikan ruang penyertaan untuk terlibat bersama-sama dalam permainan sebagai meraikan budaya sukan sesama staf dan pelajar.

Aktiviti sukan seperti ini ternyata merupakan antara medan terbaik dalam memperkukuh hubungan di antara fakulti serta warga daripada kedua-duanya. Ia menjadi platform serta peluang dalam perkenalan antara staf baharu dan lama, meningkatkan persefahaman di antara warga kedua-dua buah fakulti, pengukuhan semangat berpasukan yang akhirnya berpotensi diterjemahkan dalam kerjasama profesional pada masa akan datang. Perkara ini memberikan makna bahawa platform sukan itu sendiri berupaya melahirkan suatu semangat kekitaan yang tinggi sesama warga universiti amnya dan fakulti khasnya sekali gus boleh membina keakraban yang utuh sesama warga.

Sinergi sukan di antara fakulti ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang di mana ia bukan sekadar dapat mencipta suasana yang positif serta saling menyokong antara satu sama yang lain, tetapi juga menjadi lambang keakraban sesama warga di universiti. Tahap kegembiraan staf juga berupaya dipertingkatkan lagi melalui aktiviti riadah seperti ini.

Penulis: Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Rusydi Mohamad Kamal, Siti Hajar Abd Aziz, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah