Sepang, 5 September 2024 – Dr. Nur’Aina Daud, pensyarah Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Shah Alam telah mengharumkan nama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui pembentangan kajian beliau di Simposium Penyelidikan 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Majlis yang bertempat di Hotel Sama-Sama, Sepang ini telah menghimpunkan penerima Geran Penyelidikan Masyarakat Digital (DSRG) bagi berkongsi hasil kajian mereka, menonjolkan inovasi yang relevan dalam ekosistem digital Malaysia.
Dr. Nur’Aina Daud telah membentangkan kajian bertajuk “Digitalisation Technology Acceptance in Oil Palm Plantation Sector in Malaysia” dalam sesi kedua simposium tersebut. Kajian ini adalah usahasama antara UiTM yang terdiri dari Prof. Ts. Dr. Hjh Anitawati Mohd. Lokman, Dr. Surya Sumarni Hussein dan Puan Saidatul Rahah Hamidi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia yakni Dr. Zainab Idris dan Encik Mohamad Fairus Mohd Hidzir.
Hasil usahasama strategik ini telah mendapati bahawa penerimaan digitalisasi dalam sektor kelapa sawit berada pada tahap sederhana. Cabaran utama yang dikenal pasti termasuk masalah infrastruktur, keadaan geografi yang berbukit, serta keraguan dan kesukaran pekerja ladang untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Sehubungan itu, Dr. Nur’Aina serta kumpulan penyelidik beliau telah menekankan kepentingan penambahbaikan infrastruktur digital di kawasan ladang, penyediaan latihan yang bersesuaian kepada pekerja, serta meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta. Ini adalah untuk memastikan penerapan teknologi lebih lancar dan berkesan seterusnya memajukan lagi industri kelapa sawit Malaysia.
Sebagai seorang anak Felda, kajian ini amat dekat di hati Dr. Nur’Aina. Ketika sesi pembentangan, beliau turut berkongsi pengalamannya menemu ramah penduduk setempat di ladang kelapa sawit menggunakan dialek Terengganu. Ini menunjukkan iltizam UiTM yang sentiasa menggalakkan warganya meningkatkan taraf hidup masyarakat dan tidak lupa asal usul diri, seiring dengan aspirasi Universiti Bertaraf Global UiTM, “Gah Di Mata Dunia, Terus Mengakar ke Tanah”.
Sesi pembentangan ini turut disertai oleh panel pakar-pakar yang lain, iaitu Dr. Chan Jing Jing (Universiti Tunku Abdul Rahman) dan Prof. Madya Dr Izzal Asnira Zolkepli (Universiti Sains Malaysia). Moderator bagi sesi ini adalah Dr. Andrew Lau, Pengarah Strategik Microsoft Malaysia, yang amat teruja dengan pelbagai penemuan baharu berkaitan adaptasi teknologi dalam sektor-sektor kritikal seperti pertanian, kesihatan, dan komunikasi.
Simposium ini telah dihadiri lebih 230 peserta, termasuk wakil kerajaan, akademik, pengamal industri, dan aktivis. Secara keseluruhannya, Simposium Penyelidikan 2024 menjadi platform penting untuk memacu usaha ke arah Malaysia yang lebih berdaya saing dalam era digital, terutama dalam meningkatkan adaptasi teknologi dalam sektor-sektor yang belum sepenuhnya mengoptimumkan potensi digitalisasi.
Disediakan oleh: Saidatul Rahah Hamidi (Editor: Afdallyna Harun & KPPIM News Team)