Sharing Session with Alumni: Introduction to Occupational Therapy in Industry

Occupational Therapy Students’ Association (OTSA) Sesi 2019/2020 telah menjayakan sebuah program dalam talian iaitu “Sharing Session with Alumni: Introduction to Occupational Therapy in Industry” yang diadakan pada 6 Disember 2020. Program yang julung kali diadakan ini adalah program di bawah anjuran bersama alumni pemulihan carakerja UiTM. Kehadiran Puan Liyana Binti Raya selaku penceramah bagi program, yang juga merupakan salah seorang alumni Pemulihan Carakerja UiTM  telah memberi impak yang besar kepada peserta program ini. Peserta Program Sharing Session with Alumni ini telah melibatkan seramai 78 orang mahasiswa baru yang terdiri daripada mahasiswa semester 1 dan pelajar-pelajar penerapan diploma Semester 3 pemulihan carakerja.  Program ini telah diadakan melalui platform Google Meet berikutan dengan keadaan semasa yang tidak mengizinkan untuk menjalankan program secara bersua muka.

Penganjuran program ini adalah berdasarkan keperihatinan mahasiswa pemulihan carakerja terhadap beberapa perkara seperti memberi peluang kepada pelajar-pelajar baru terapi carakerja untuk lebih mengenali bidang Pemulihan Carakerja yang diceburi, merapatkan hubungan antara alumni Pemulihan Carakerja dengan pelajar-pelajar Pemulihan Carakerja, dan memberi inspirasi serta membantu pelajar baru dalam menimba ilmu dan informasi tentang pendedahan kursus Pemulihan Carakerja. Di samping itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar untuk lebih mengenali bidang yang diceburi dan sektor industri alam pekerjaan untuk Pemulihan Carakerja. Penglibatan alumni dalam program ini dapat membantu merealisasikan program ini dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar Sarjana Muda Pemulihan Carakerja bersama alumni.

Program ini bermula dengan pendaftaran pelajar serta penyertaan VIP ke dalam Google Meet yang telah disediakan oleh ahli jawatankuasa program ini. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian daripada pengarah program dan diikuti dengan ucapan dari Ketua Pusat Pengajian Pemulihan Carakerja Puncak Alam iaitu Dr Padma A. Rahman, yang juga merupakan perasmi bagi program ini.  Pengisian program ini  diteruskan dengan dua slot perkongsian bersama penceramah, Pn. Liyana binti Raya yang bertajuk “Empowering Profession as a Self-Employed OT” dan “Survival as an OT in Private Sector”. Pengalaman dan ilmu yang dikongsikan bersama peserta program adalah sangat bermakna dan menarik.

Seterusnya, sesi soal jawab telah berlangsung dimana pelajar boleh mengajukan soalan kepada penceramah berkaitan tajuk tersebut seperti pendedahan awal kepada pelajar sebelum menceburi bidang ini. Setelah selesai sesi soal jawab, sesi seterusnya diteruskan dengan sesi Kahoot yang melibatkan semua mahasiswa baru semester 1 dan pelajar penerapan diploma semester 3 pemulihan carakerja. Pemenang bagi sesi Kahoot tersebut diberikan hadiah sebagai tanda penghargaan dan dengan itu, program ini diakhiri dengan jayanya atas kerjasama semua pihak.