UiTM Sarawak, 22 Disember 2023 – UiTM Sarawak telah diserikan dengan kunjungan istimewa dari Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM pada 15 November 2023, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose. Dalam ucapan yang diberikan, beliau mengetengahkan kepentingan mengenalpasti masa produktif dalam tempoh bekerja kepada para pensyarah.
Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose menekankan bahawa mengenalpasti masa produktif individu adalah langkah penting dalam meningkatkan produktiviti. “Pensyarah yang dapat mengenali waktu yang paling produktif bagi diri mereka secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah hasil yang dapat mereka capai. Peningkatan produktiviti adalah kunci kepada pertumbuhan kerjaya,” beliau menyatakan dengan yakin.
Selain itu, beliau memberi penekanan terhadap kepentingan pembelajaran berterusan dan pembangunan peribadi di kalangan pensyarah. “Saya galakkan pensyarah untuk terus meningkatkan diri melalui pembelajaran berterusan dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa pekerja yang berilmu pengetahuan memainkan peranan penting dalam kejayaan organisasi. “Pensyarah yang sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan mereka tidak hanya memberi kesan positif terhadap prestasi pelajar, tetapi juga mempunyai impak yang besar terhadap kejayaan sebuah organisasi,” jelas Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose.
Kunjungan ini dianggap sebagai dorongan penting kepada pensyarah UiTM Sarawak untuk menerapkan amalan pengurusan masa yang lebih baik dalam usaha meningkatkan produktiviti mereka. Pesanan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah ini diharapkan dapat memupuk semangat pensyarah untuk sentiasa mengemari pembelajaran berterusan dan memperkembangkan diri bagi manfaat bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga untuk kebaikan pelajar dan institusi secara keseluruhan.